Home PolitikPAS /PPBM / LAIN PAS setuju UMNO tidak desak kerajaan adakan PRU-15

PAS setuju UMNO tidak desak kerajaan adakan PRU-15

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 14 Jun – PAS bersetuju dengan UMNO bahawa tiada keperluan untuk mendesak kerajaan supaya mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam waktu terdekat kerana negara masih berdepan dengan wabak COVID-19.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, PAS berpandangan kenyataan tersebut amat tepat dan kena pada masanya memandangkan fokus seluruh jentera Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri sekarang adalah bagi memerangi pandemik COVID-19 yang masih belum reda, baik di Malaysia mahupun di seluruh dunia.

“Begitu juga parti-parti politik turut sama menumpukan kepada usaha membantu rakyat yang terkesan teruk dengan wabak ini bukan sahaja dalam aspek kesihatan tapi juga aspek ekonomi,

“Justeru, semua pihak terutama parti-parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tanpa mengira fahaman serta aliran pemikiran agar sama-sama dapat membantu kerajaan menyelesaikan wabak yang merupakan darurat besar,

“Ini sekaligus bermaksud isu-isu yang boleh menimbulkan ketegangan, keburukan dan kerugian masa, tenaga dan kewangan wajar dielakkan semaksima mungkin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Takiyuddin berkata, PAS yakin kerajaan akan terus mengambil langkah-langkah yang proaktif dengan mengambil kira pandangan dan cadangan semua pihak bagi memastikan kebaikannya akan dirasai oleh seluruh rakyat dan penduduk Malaysia.

Semalam, Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, UMNO tidak perlu mendesak kerajaan supaya mengadakan PRU-15 dalam waktu terdekat ini, lebih-lebih lagi ketika negara masih menghadapi wabak COVID-19. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply