Home Diskusi Perdana Menteri Israel ke-13: Bekas komando dan jutawan teknologi

Perdana Menteri Israel ke-13: Bekas komando dan jutawan teknologi

by M.Daim

TEL AVIV, 14 Jun – Naftali Bennett, 49, menjadi Perdana Menteri Israel ke-13 menggantikan Benjamin Netanyahu.

Pelantikan Naftali berkuatkuasa selepas Parlimen Israel, Knesset, meluluskan pembentukan kerajaan baharu.

Kedua-dua ibu bapa Naftali, Jim dan Myrna Bennet merupakan imigran Yahudi Amerika yang berpindah ke Israel pada tahun 1967, sebulan selepas tamatnya Perang 6 Hari.

Jim dan Myrna menganut fahaman Yahudi Orthodox Moden.

‘Bekas Komando’

Lahir di Haifa pada 25 Mac 1972, Naftali pernah berkhidmat dalam pasukan khusus Tentera Israel iaitu Sayeret Matkal dan Maglan.

Dalam kedua-dua pasukan tersebut, Naftali telah dilantik sebagai komander kompeni.

Naftali Bennet mempunyai pengalaman menganggotai pasukan khas Tentera Israel, Sayaret Matkal dan Maglan.

Selepas 6 tahun perkhidmatannya dalam Tentera Israel, Naftali meneruskan khidmatnya sebagai anggota tentera simpanan dan berpangkat Mejar.

Kali terakhir Naftali terlibat dalam pertempuran adalah di Lubnan pada tahun 2006 sebagai anggota simpanan pasukan Maglan.

‘Jutawan dunia teknologi’

Beliau merupakan antara pengasas syarikat perisian anti pemalsuan, Cyota pada tahun 1999. Syarikat tersebut kemudiannya dibeli oleh RSA Security dengan harga US$ 145 juta.

Penjualan Cyota turut merangkumi perjanjian untuk mengekalkan cabang Israel dalam syarikat tersebut.

Selain daripada itu, beliau pernah menjadi Ketua Pengarah Eksekutif syarikat teknologi Soluto. Syarikat tersebut kemudiannya dijual kepada Asurion pada tahun 2013 dengan nilai sekitar US$ 100-130 juta.

Forbes Israel melaporkan Naftali mempunyai pelaburan dalam syarikat Payoneer dengan pulangan US$ 5 juta.

‘Politik’

Digelar sebagai ultra-nasionalis, Naftali mengatakan pendirian beliau lebih ‘berhaluan kanan’ berbanding Benjamin Netanyahu.

Beliau turut menentang penubuhan negara Palestin dan menolak penyelesaian penubuhan 2 negara (two state solution) kepada isu di wilayah Asia Barat.

Penyelesaian ini adalah merujuk kepada penubuhan negara Israel dan Palestin secara bersama.

Menurut laporan BBC, Naftali begitu lantang dalam menyuarakan pendirian beliau untuk menjadikan Israel sebagai negara Yahudi.

Naftali pernah lakonkan watak warga Israel Hipster sebagai sindiran kepada masyarakat Yahudi yang bersifat apologetik dalam mengendalikan isu Palestin.

Selain daripada itu beliau turut menegaskan hak Yahudi dalam sudut agama dan sejarah terhadap tanah di Tebing Barat, Timur Baitulmaqdis dan Bukit Golan.

Ini dapat dilihat dalam penglibatan Naftali sebagai Ketua Majlis Yesha, kumpulan politik yang mewakili penduduk di kawasan penempatan Yahudi.

Sebelum dipilih menjadi Perdana Menteri, Naftali telah memegang pelbagai portfolio dalam kabinet Netanyahu.

Beliau pernah dilantik sebagai Menteri Ekonomi, Menteri Agama, Menteri Perhubungan Diaspora, dan Menteri Pendidikan.

Pada tahun 2019 hingga 2020, beliau merupakan Menteri Pertahanan Israel.

Naftali akan memegang jawatan Perdana Menteri Israel sehingga September 2023. Ini adalah berdasarkan perjanjian perkongsian kuasa pembentukan kerajaan baharu. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply