Home Pertahanan dan Keselamatan Sindiket rokok seludup RM7.66 juta tumpas

Sindiket rokok seludup RM7.66 juta tumpas

by Nurulhuda

MERSING, 14 Jun – Polis Johor telah menumpaskan satu sindiket pengedaran rokok seludup yang dianggarkan bernilai RM7.66 juta dalam serbuan di sebuah jeti di Endau, Mersing, pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pasukannya bertindak atas maklumat berkaitan penyeludupan kontraband, di mana serbuan dijalankan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Mersing dan Tampoi bersama Balai Polis Endau, pada jam 6.30 petang hingga 10 malam.

Beliau berkata,dalam serbuan tersebut pihaknya turut menahan 3 lelaki tempatan berusia 27 hingga 51 tahun.

“Polis turut merampas 2 buah lori, satu bot persiaran atau bot pelancongan, 903 kotak rokok pelbagai jenama bernilai RM7.6 juta, masing-masing satu unit sistem pengesanan lokasi (GPS) Garmin GPSMAP, radar Furono Fish Finder FCB-627 dan radar Lowrance HDS 7,

“Jumlah kesemua barang rampasan termasuk bot bernilai RM9.32 juta,” katanya dalam sidang media di Markas Operasi Pasukan Gerakan Marin, hari ini.

Ayob menjelaskan, modus operandi sindiket itu sama seperti sebelum ini iaitu dengan menggunakan bot pelancongan untuk mengaburi aktiviti penyeludupan tersebut.

Jelasnya, bot pelancongan itu digunakan untuk mengambil rokok dari sebuah kapal besar yang berada di perairan antarabangsa sebelum membawanya masuk ke perairan negara ini lalu diedarkan dengan menggunakan jalan darat.

“Kapal tersebut membawa rokok dari Vietnam sebelum ke Batam, Indonesia dan menunggu bot penyeludup di perairan antarabangsa mengambil rokok berkenaan,

“Siasatan mendapati pemilik bot pelancongan itu terlibat dalam aktiviti penyeludupan selepas tiada lagi aktiviti pelancongan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu,

“Pemiliknya telah mengubah suai bahagian dalam bot bagi memudahkan aktiviti itu dan sudah 3 atau 4 kali melakukan kegiatan berkenaan. Rokok-rokok tersebut dipunggah ke dalam lori untuk dibawa ke pantai timur, Negeri Sembilan dan Perak,” tambahnya.

Menurutnya, kesemua suspek direman pada 12 dan 13 Jun 2021, namun disambung reman 3 hari mulai hari ini hingga Rabu bagi siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam 1967, jika sabit kesalahan, denda boleh dikenakan tidak kurang 10 ganda nilai atau RM100,000 (mana lebih tinggi) sehingga tidak lebih 20 ganda nilai suapan atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya,” jelasnya.

Pada masa sama, Ayob menjelaskan, polis Johor menerusi PPM sentiasa meningkatkan pengoperasian dan memperketatkan pengawalan perairan negara dari dibolosi sindiket penyeludupan yang dilihat sentiasa mengubah taktik bagi mengelakkan dari dikesan pihak berkuasa. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply