Home Semasa Kerajaan tubuh Pasukan Khas teliti kepentingan kesihatan, kesejahteraan rakyat – Ismail Sabri

Kerajaan tubuh Pasukan Khas teliti kepentingan kesihatan, kesejahteraan rakyat – Ismail Sabri

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 23 Mei – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan telah menubuhkan Pasukan Khas (Task Force) untuk meneliti perkara berkaitan kepentingan kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, pasukan tersebut terdiri daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Saya faham ramai yang bimbang dan mencadangkan supaya dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh kerana kes semakin meningkat,

“Namun ramai yang khuatir sekiranya total lockdown dilaksanakan, mereka yang bergantung kepada pendapatan harian seperti peniaga-peniaga kecil akan terkesan kerana punca pendapatan mereka akan tertutup sama sekali,” katanya pada sidang media bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, semalam.

Menurutnya, memahami seriusnya isu berkenaan, kerajaan telah mewujudkan Pasukan Khas ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah mengumumkan keputusan Sidang Khas MKN bagi pengurusan COVID-19 untuk memperketatkan lagi pelaksanaan PKP 3.0 yang sedang berkuat kuasa, dengan menambah sekatan lebih ketat ke atas sektor ekonomi dan sosial.

Pada masa sama, Ismail Sabri menyatakan, kewujudan varian baharu COVID-19 yang lebih agresif dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di dalam negara akan menyebabkan usaha untuk melandaikan lengkung jangkitan mengambil masa lebih panjang.

“Trend peningkatan kes harian di Malaysia turut berlaku di seluruh dunia, yang memaksa kerajaan mengetatkan lagi sekatan-sekatan pergerakan ke atas rakyat mereka dengan tujuan untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 dan memberi ruang kepada sistem kesihatan untuk memberikan rawatan yang lebih berkesan,

“Mengambil kira situasi terkini, pihak berkuasa akan meningkatkan penguatkuasaan serta akan menambah jumlah sekatan jalan raya (SJR),

“Oleh itu, rakyat diminta kekal duduk di rumah jika tiada keperluan untuk keluar,” ujarnya. – airtimes.my

 

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply