Home Semasa Pulau Tioman dikenakan PKPD bermula esok

Pulau Tioman dikenakan PKPD bermula esok

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 15 Mac – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Pulau Tioman, Pahang bermula esok hingga 29 Mac 2021.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi.

“Sehingga 14 Mac, KKM melaksanakan 48 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 16 kes positif direkodkan,

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Pulau Tioman bermula 16 Mac hingga 29 Mac 2021,” katanya dalam kenyataan mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), hari ini.

Menurutnya, pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti.

Selain itu, kerajaan juga bersetuju untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah Nabawan, Sabah selama 14 hari bermula 17 Mac hingga 30 Mac 2021.

Sebelum ini lokaliti ini dikenakan PKP bermula 3 Mac hingga 16 Mac 2021.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 3,079 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 279 kes telah direkodkan,

“Walau bagaimanapun, KKM mengesahkan masih terdapat baki 872 sampel saringan yang belum mendapat keputusan,” ujarnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply