Home Pertahanan dan Keselamatan Bangladesh ambil alih operasi Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar

Bangladesh ambil alih operasi Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 15 Mac – Operasi Kompleks Hospital Medan Malaysia (HMM) di Cox’s Bazar telah diambil alih oleh kerajaan Bangladesh secara rasmi mulai 14 Mac.

Markas Angkatan Bersama (MAB) dalam satu kenyataan berkata, penyerahan kompleks menandakan penarikan penuh operasi HMM yang dikendalikan oleh Malaysia semenjak 3 tahun lalu.

Penyerahan disempurnakan oleh Pesuruhajaya Tinggi Malaysia di Bangladesh, Haznah Md Hashim mewakili negara dan Shah Rezwan Hayat, Pesuruhjaya Tinggi Refugee Relief and Repatriation Commissioner (RRRC) mewakili Kerajaan Bangladesh.

Dalam ucapannya, Haznah menegaskan penyerahan kompleks in melambangkan sokongan berterusan dan solidariti Malaysia kepada Bangladesh dalam menangani isu pelarian di negara Asia Selatan itu.

“Penyerahan ini turut melambangkan hubungan persaudaraan di antara dua negara,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi RRRC merakamkan penghargaan kepada Malaysia kerana membantu Bangladesh menyediakan khidmat bantuan kemanusiaan yang terbaik kepada pelarian Rohingya di Cox’s Bazar dan penduduk tempatan berhampiran.

Terdahulu, kerajaan Malaysia memutuskan untuk menamatkan operasi HMM pada tahun 2020, lebih awal berbanding mandat operasi sehingga 2021.

Keputusan dibuat berdasarkan kem pelarian yang semakin baik dan pertambahan bilangan hospital medan dari negara lain.

HMM di Cox’s Bazar mula dioperasikan semenjak Ogos 2017 dan merupakan hospital medan tahap tiga yang pertama dioperasikan di kawasan itu.

Menurut MAB, HMM telah memberi bantuan kemanusiaan kepada lebih satu juta pelarian Rohingya yang mencari perlindungan di Bangladesh.

Angkatan Tentera Malaysia terlibat dalam pengoperasian HMM melalui 5 siri Op Starlight. – airtimes.my

Galeri gambar:

Related Articles

Leave a Reply