KUALA LUMPUR, 4 Feb – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengingatkan supaya berhenti melemparkan tohmahan tidak berasas terhadap keprihatinan Yang di-Pertuan Agong dalam memperkenankan proklamasi darurat.
Beliau berkata, kerajaan telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong selepas Tuanku berpuas hati bahawa penularan wabak COVID-19 di negara ini di tahap kritikal dan perlunya pelaksanaan darurat selaras dengan keputusan Jemaah Menteri.
“Proklamasi darurat dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong adalah bertujuan memberikan bidang kuasa tertentu kepada kerajaan untuk mengurus pandemik COVID-19 dengan lebih cepat, cekap dan berkesan,
“Tindakan serta-merta sedang diambil kerajaan mengikut peruntukan Ordinan Darurat yang sedang berkuatkuasa,” katanya dalam penjelasan terkini mengenai pelaksanaan darurat dan pemasyhuran Ordinan Darurat dalam mengurus pandemik COVID-19, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, proklamasi darurat oleh Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai tujuan lain, selain daripada membendung penularan COVID-19 dengan lebih berkesan dan melindungi nyawa rakyat.
“Walaupun ada segelintir pihak cuba mencabar Proklamasi Darurat di mahkamah, saya percaya bahawa Seri Paduka Baginda sebagai Ketua Negara amat memahami dan menghormati sistem serta proses perundangan negara,
“Sebagai ketua kerajaan, saya juga sentiasa menghormati sistem dan proses perundangan negara kita yang berpaksikan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen,
“Saya ingin ulangi komitmen bahawa saya akan menasihati Seri Paduka Baginda untuk membubarkan Parlimen sebaik sahaja penularan wabak COVID-19 telah reda dan Pilihan Raya Umum adalah selamat untuk diadakan,” katanya.
Selain itu, Muhyiddin menyeru rakan-rakan dari pihak kerajaan mahupun pembangkang, supaya bersama-sama berganding bahu dan menggembeleng usaha untuk memerangi wabak COVID-19 tanpa mengira perbezaan fahaman politik. – airtimes.my