Home SemasaGlobal Tentera Myanmar tahan Aung San Suu Kyi

Tentera Myanmar tahan Aung San Suu Kyi

by Air Times News Network

YANGON, 1 Feb – Pemimpin Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD), Aung San Suu Kyi ditahan tentera Myanmar, hari ini.

Perkara tersebut disahkan oleh jurucakap parti itu.

Menurut laporan berita BBC, penahanan Suu Kyi berlaku semasa ketegangan antara kerajaan awam dan pihak tentera. Situasi telah menimbulkan kebimbangan akan berlaku rampasan kuasa oleh tentera Myanmar.

Pada pilihan raya November lalu, NLD pimpinan Suu Kyi telah memenangi dengan majoriti besar dan membentuk kerajaan, namun pihak tentera mendakwa undi tersebut adalah palsu.

Pihak tentera Myanmar telah meminta kerajaan untuk menangguhkan sidang parlimen yang akan berlangsung hari ini.

Dalam pada itu, wartawan BBC Asia Tenggara, Jonathan Head, berkata tangkapan ini seperti rampasan kuasa penuh, walaupun tentera menjanjikan hanya untuk mematuhi perlembagaan yang disusunnya lebih dari satu dekad yang lalu.

“Askar berada di jalan-jalan di ibu kota, Naypyitaw, dan bandar utama, Yangon,

“Di bawah perlembagaan, ia mempunyai kuasa besar untuk mengisytiharkan keadaan darurat, tetapi menahan pemimpin politik seperti Suu Kyi adalah tindakan provokatif dan sangat berisiko, yang mungkin ditentang hebat,” katanya.

Manakala jurucakap NLD, Myo Nyunt memberitahu agensi berita Reuters menerusi telefon bahawa Suu Kyi, Presiden Win Myint dan pemimpin lain telah “diambil” pada awal pagi.

“Saya ingin memberitahu orang-orang kita agar tidak bertindak balas dengan tergesa-gesa dan saya mahu mereka bertindak mengikut undang-undang,” ujarnya.

Penahanan Suu Kyi dibuat seminggu selepas pemimpin tentera, Jeneral Min Aung Hlaing mengumumkan tidak menolak kemungkinan rampasan kuasa akan berlaku bagi memansuhkan Perlembagaan Myanmar. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply