Home SemasaGlobal Pengawal Pantai China diberi kebenaran tembak kapal asing di kawasan perairan

Pengawal Pantai China diberi kebenaran tembak kapal asing di kawasan perairan

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 23 Jan – Kerajaan China telah meluluskan undang-undang Penguatkuasaan Laut yang membenarkan pasukan Pengawal Pantai negara itu untuk menggunakan kekerasan dan menembak mana-mana kapal menceroboh perairan mereka.

Rang undang-undang telah diluluskan Jumaat lalu semasa Mesyuarat Kongres Kebangsaan diadakan.

Selain menggunakan kekerasan, rang undang-undang terbabit turut membenarkan agensi maritim itu untuk memeriksa dan menggeledah mana-mana kapal yang berada dalam perairan di bawah kuasa China.

“Agensi maritim berhak untuk mengenalpasti dan memeriksan mana-mana kapal yang beroperasi dalam perairan China bagi menentukan maklumat asas seperti operasi dan pelayaran kapal tersebut,

“Untuk kapal asing yang disyaki melanggar undang-undang, pihak agensi berkuatkuasa berhak untuk mengambil langkah sepatutnya seperti menjejak dan memerhati kapal terbabit,

“Ketika melaksanakan tugas keselamatan maritim, pihak agensi dibenarkan untuk menaiki dan memeriksa kapal tersebut,

“Pihak agensi juga dibenarkan untuk memberi arahan kepada kapal yang disyaki untuik berhenti. Sekiranya enggan berkerjasama dan cuba lari, pihak berkuasa maritim berhak untuk mengejar dan memintas mereka,” jelas rang undang-undang yang disiarkan oleh media China.

Selain itu, pihak berkuasa perairan turut dikehendaki mematuhi perjanjian antarabangsa perairan yang telah diiktiraf dan ditandatangani oleh China.

“Pihak pengawal pantai dibenarkan untuk mengambil pelbagai langkah berpatutan termasuk menggunakan senjata bagi menghalang pencerobohan serta bahaya,” jelas Perkara 22 rang undang-undang tersebut.

Selain membenarkan pihak pengawal pantai untuk melakukan penguatkuasaan di kawasan zon dampingan perairan (contiguous zone), undang-undang ini juga membenarkan pihak terbabit untuk melakukan pemeriksaan dan meroboh mana-mana struktur yang didapati dibina serta menceroboh perairan China.

“Pengawal pantai juga dibenarkan untuk melakukan rondaan di kawasan-kawasan strategik termasuk pulau buatan dan struktur terbina di zon ekonomi eksklusif,” jelasnya.

Rang undang-undang ini dilihat bakal merumitkan keadaan di pertelingkahan perairan antara China dengan negara jirannya.

Selain daripada itu, China turut menuntut sebahagian kawasan perairan Laut China Selatan di sebagai wilayahnya mengikut 9-Dash Line.

Mengikut takrifan undang-undang ini, pasukan pengawal pantai merangkumi Biro Pengawal Pantai dan biro berkaitan. Ini termasuk pasukan Polis Maritim China.

Rang undang-undang ini akan berkuatkuasa mulai 1 Februari 2021. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply