SIBU, 23 Jan – Anggota Tentera Darat Malaysia dari Batalion ke-3 Rejimen Renjer Diraja (3RRD) telah terlibat untuk menyediakan tempat pengasingan pesakit COVID-19 di Stadium Tertutup Kanowit, semalam.
Briged ke-9 Infantri Malaysia ( 9 Briged) dalam satu hantaran di akaun Facebook rasminya berkata, pusat kuarantin adalah untuk pesakit tahap 1.
Mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia, pesakit COVID-19 tahap 1 merupakan tidak mempunyai sebarang gejala.
“Penyediaan tempat tersebut turut dibantu oleh 9 Kompeni Angkut Kor Perkhidmatan Diraja dan 9 Kompeni Kor Ordnans Diraja,” katanya.

Stadium Tertutup Kanowit akan dijadikan pusat pengasingan pesakit tahap 1 COVID-19. Foto: 9 Briged
9 Briged menegaskan tentera sentiasa bersedia untuk membantu pihak berkuasa tempatan ketika keadaan memerlukan.
“Disamping melaksanakan tugas utama dalam menjaga kedaulatan negara daripada pencerobohan anasir luar, Angkatan Tentera Malaysia sentiasa bersedia membantu pihak berkuasa dan juga agensi awam untuk menghulurkan bantuan kepada masyarakat yang terkesan akibat wabak COVID-19,” katanya.
Menurutnya lagi, 30 katil dua tingkat disediakan adalah sumbangan Tegas Kesuma Sdn Bhd. Pihak Kem Junaco Park pula menyedia kelengkapan katil yang lain.
Kanowit merupakan antara 3 daerah dalam bahagian Sibu yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan semenjak 16 Januari lalu.
Dua daerah lagi adalah daerah Sibu dan Selangau.
Perintah ini dilaksanakan berikutan peningkatan mendadak kes jangkitan COVID-19 di bahagian tersebut.
Semalam, Sarawak telah mencatatkan sebanyak 229 kes baharu wabak itu dengan 168 daripadanya dikesan di daerah Sibu dan 7 lagi di Kanowit. – airtimes.my