KUALA LUMPUR, 22 Dis – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan, kerajaan telah menandatangani perjanjian dengan syarikat farmaseutikal AstraZeneca bagi memperolehi sebanyak 6.4 juta dos vaksin COVID-19.
Beliau berkata, ia merupakan perjanjian ketiga selepas kerajaan memeterai perjanjian dengan COVAX bagi pembelian 10 peratus vaksin dan syarikat Pfizer bagi 20 peratus pembelian sama, akhir bulan lepas.
Menurutnya, 6.4 juta dos vaksin COVID-19 tersebut bakal memenuhi keperluan imunisasi 10 peratus lagi rakyat Malaysia.
“Ini bermakna jaminan bekalan vaksin sebanyak 40 peratus yang telah pun diperolehi menerusi perjanjian bersama fasiliti COVAX, syarikat Pfizer dan syarikat AstraZeneca,
“Kerajaan juga sedang dalam proses rundingan akhir dengan Sinovac, CanSino dan Gamaleya bagi mendapatkan jaminan bekalan vaksin bertambah melebihi 80 peratus jumlah populasi negara atau 26.5 juta,” katanya dalam perutusan khas yang disairkan secara maya, hari ini.
Tambahnya, kerajaan akan membelanjakan sebanyak AS$504.4 juta (RM2.05 bilion) melalui kesemua rundingan dan perjanjian yang telah serta akan dimeterai buat masa ini.
“Jumlah 80 peratus ini adalah melebihi sasaran awal kita, iaitu untuk memberikan vaksin kepada 70 peratus rakyat Malaysia,” katanya.
Muhyiddin berkata, perjanjian dengan Sinovac, CanSino serta Gamaleya itu juga akan memberi nilai tambah kepada sektor sains dan teknologi tempatan yang bakal memberi pulangan kepada rakyat dan pembangunan negara.
“Ia termasuk melakukan proses pembotolan vaksin di dalam negara, penyelidikan dan pembangunan, serta perkongsian pengetahuan dan pemindahan teknologi,” jelasnya.
Dalam pada itu katanya, kerajaan akan terus mengadakan rundingan dengan syarikat-syarikat farmaseutikal yang lain bagi memastikan Malaysia mempunyai jaminan akses bekalan vaksin percuma yang mencukupi.
“Vaksin yang diperolehi ini akan dipastikan selamat dan berkesan,
“Untuk menyakinkan rakyat vaksin yg diperolehi selamat dan berkesan, saya akan menjadi antara individu pertama untuk menerima suntikan vaksin COVID-19,
“Ini akan diikuti petugas barisan hadapan sebelum diberikan kepada kumpulan sasar atau berisiko tinggi, warga emas, mereka yang menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) dan penyakit saluran pernafasan kronik,”ujarnya.
Muhyiddin menambah, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin telah ditubuhkan dan dipengerusikan bersama oleh Menteri Kesihatan dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi akan memastikan bekalan vaksin dapat diperoleh pada kadar segera.
“Kerajaan menjangkakan bekalan pertama sejuta dos vaksin dari Pfizer akan diterima dan mula diberikan kepada kumpulan sasar, seawal Februari 2021,
“Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memantau keberkesanan dan keselamatan vaksin setelah diperoleh dan digunakan,” tambahnya. –airtimes.my