Home Pertahanan dan Keselamatan APMM Johor tahan kapal tangki, bersauh tanpa kebenaran

APMM Johor tahan kapal tangki, bersauh tanpa kebenaran

by Jassmadi Jakariya

𝗞𝗢𝗧𝗔 𝗧𝗜𝗡𝗚𝗚𝗜, 𝟮1 D𝗶𝘀 – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tanjung Sedili menahan sebuah kapal tangki yang bersauh tanpa kebenaran di perairan Johor Timur pada jam 1.00 petang, semalam.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Kepten Maritim Mohamad Sulhan Zainon berkata, penahanan tersebut dibuat semasa kapal ronda APMM melaksanakan rondaan rutin operasi.

“Kapal tangki yang ditahan semalam telah dikesan sedang bersauh pada kedudukan sekitar 11.3 batu nautika timur Tanjung Penawar,” katanya dalam hantaran di media sosial APMM.

Hasil pemeriksaan awal ke atas kapal yang berdaftar di negara St Kitts & Nevis, Basetterre itu, bot tersebut dikendalikan 10 kru lelaki termasuk nakhoda yang berusia antara 24 hingga 55 tahun terdiri daripada warga Myanmar, Filipina serta Bangladesh.

“Pemeriksaan juga mendapati nakhoda kapal tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut Malaysia,

“Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak kurang RM 20 ribu dan tidak melebihi RM100 ribu,

“Perintah penahanan ke atas kapal tersebut telah dikeluarkan dan 2 kru kapal tersebut turut dibawa ke Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut,”ujarnya.

Mohamad Sulhan menegaskan, pihaknya akan terus meningkatkan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan kapal-kapal dalam perairan negara sentiasa terjamin.

“Para pengusaha dan ejen perkapalan khususnya di perairan Johor Timur, dinasihatkan agar mematuhi undang-undang bagi memastikan perairan ini sentiasa selamat dan produktif dalam industri perkapalan serantau,

“Rakyat tempatan boleh hubungi APMM Negeri Johor jika terdapat maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut,” tambahnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply