KUALA LUMPUR, 16 Dis – Seramai 40 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 5 penyeludup ditahan dalam Operasi Benteng (Op Benteng), semalam.
Op Benteng yang melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) turut merampas 7 kenderaan darat dan 4 bot atau kapal PATI dari memasuki negara.
“Operasi ini adalah untuk mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi PATI bagi mengekang penularan wabak COVID-19 di negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa yang sama PDRM, ATM, Jabatan Suka Rela Malaysia (RELA) dan AKSEM semalam telah melaksanakan sebanyak 117 sekatan Jalan Raya (SJR) di seluruh negara.
“Op Penawar (ATM, PDRM dan RELA) laksana 46 SJR, Op Benteng PDRM (62 SJR) dan Op Benteng AKSEM (9 SJR),
“Selain dari itu kerajaan juga akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki negara secara haram serta mengetatkan kawalan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus oleh agensi-agensi penguatkuasa,” ujarnya.
Ismail Sabri turut menjelaskan, PDRM telah menahan 235 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP.
“Daripada jumlah itu, seramai 233 individu telah dikompaun manakala 2 individu pula direman,
“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (82), tidak memakai pelitup muka (81), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (57) dan lain-lain (15),” jelasnya.-airtimes.my
