Home Politik Agong isytihar Darurat di Parlimen Batu Sapi, PRK dibatalkan

Agong isytihar Darurat di Parlimen Batu Sapi, PRK dibatalkan

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 18 Nov – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Parlimen Batu Sapi, Sabah.

Kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, pengisytiharan itu berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan suatu ordnan dimashyurkan di bawah Fasal (2B) Perkara 150 untuk membatalkan tarikh yang telah ditetapkan bagi menjalankan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi P.185 Batu Sapi.

“Dengan pengisytiharan ini juga apa-apa prosiding yang telah bermula bagi maksud perjalanan PRK bagi P.185 Batu Sapi tidak akan diteruskan dengan tujuan mengekang dan menghalang daripada berlakunya gelombang keempat penularan wabak COVID-19 dan satu tarikh yang lain akan ditetapkan untuk PRK tersebut,

“Maka dengan itu, Seri Paduka Baginda telah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat bagi P.185 Batu Sapi, Sabah dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak COVID-19,

“Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda berpendapat bahawa amatlah wajar PRK ini dibatal dan ditangguhkan demi keselamatan rakyat dan kesejahteraan negara,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Seri Paduka Baginda membuat keputusan tersebut setelah memperhalusi perjelasan dari Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan taklimat daripada Ketua Setiausaha Negara, Peguam Negara, Ketua Pengarah Kesihatan dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

“Perdana Menteri telah mempersembahkan nasihat beliau, susulan daripada keputusan mesyuarat Jemaah Menteri berkenaan pelaksanaan darurat di Batu Sapi untuk perkenan Seri Paduka Baginda,” ujarnya.

Sebelum ini, SPR menetapkan hari penamaan calon PRK Batu Sapi pada 23 Nov manakala hari pengundian pada 5 Dis dan pengundian awal pada 1 Dis.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply