Home Semasa Agong titah Ahli Parlimen henti sengketa politik, sokongan Belanjawaan 2021

Agong titah Ahli Parlimen henti sengketa politik, sokongan Belanjawaan 2021

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 28 Okt – Ahli-ahli Dewan Rakyat dinasihatkan untuk memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021 demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sekali lagi bertitah menegaskan bahawa Belanjawan 2021 amat penting kepada kerajaan dan pihak-pihak berkuasa, khususnya petugas barisan hadapan dalam meneruskan usaha-usaha membendung wabak pandemik COVID-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata, Baginda menyeru Ahli-ahli Dewan Rakyat menghormati titah nasihat Seri Paduka Baginda untuk menghentikan segera segala perbalahan politik.

“Sebaiknya, Ahli Parlimen perlu mengutamakan kebajikan rakyat serta kesejateraan negara supaya Belanjawan 2021 diluluskan tanpa sebarang gangguan,

“Seri Paduka Baginda mengingatkan Ahli-ahli Dewan Rakyat bahawa sengketa politik untuk kepentingan peribadi masing-masing akan merugikan negara dan seluruh rakyat akan menjadi mangsa pada ketika negara masih lagi bergelut menghadapi ancaman wabak COVID-19 ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Al-Sultan Abdullah bertitah demikian selepas menerima menghadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Negara, hari ini.

Dalam sesi menghadap yang berlangsung lebih satu jam dari 8.00 pagi tadi, beliau berkata, Sultan Abdullah telah berkenan menerima taklimat ringkas berkenaan Belanjawan 2021 yang akan dibentang di Parlimen pada 6 November 2020.

“Sultan Abdullah menzahirkan harapan Seri Paduka Baginda agar Belanjawan 2021 ini memberi penekanan kepada pemulihan ekonomi negara dan kesejahteraan serta kelangsungan hidup rakyat yang terkesan akibat penularan COVID-19,

“Baginda turut menzahirkan keyakinan penuh kemampuan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menerajui kepimpinan negara pada saat negara sedang diuji dengan pelbagai krisis ini,” katanya lagi.

Mesyuarat Pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Al-Sultan Abdullah untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan Kerajaan. –airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply