Home Semasa PDRM tahan 508 individu ingkar PKPP

PDRM tahan 508 individu ingkar PKPP

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 28 Okt – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 508 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah itu, seramai 501 individu dikompaun, manakala 6 individu direman dan 1 dijamin.

Katanya, antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk tidak memakai pelitup muka (160), gagal menyediakan peralatan dan merekod butiran diri (113), penjarakan fizikal (97), premis beroperasi lebih masa (33), aktiviti di pusat hiburan (10) dan lain-lain (78).

Beliau berkata 3 negeri paling tinggi jumlah individu dikompaun atas kesalahan ingkar PKPP adalah Kuala Lumpur iaitu sebanyak 192 individu, Selangor (155) dan Sabah (36).

Tambahnya lagi, semalam PDRM melalui Task Force Operasi telah membuat 53,327 pemeriksaan bagi membantu dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP.

“Selain itu, PDRM turut memeriksa sebanyak 3,618 pasar raya; 4,672 restoran; 1,217 kilang dan 1,511 pasar awam, selain 2,946 tempat ibadah serta 1,230 tempat riadah,” katanya pada sidang media mengenai PKPP di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, Op Benteng juga berjaya menahan 81 pendatang asing tanpa izin (PATI), serta berjaya merampas 3 kenderaan darat, semalam.

“Op Benteng turut mengadakan sebanyak 295 sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negara melibatkan PDRM (221), ATM (65) dan AKSEM (9),” katanya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply