Home Semasa Malaysia kutuk keras ucapan benci, fitnah Islam – Hishammuddin

Malaysia kutuk keras ucapan benci, fitnah Islam – Hishammuddin

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 28 Okt – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan retorik dan provokatif yang memfitnah agama Islam serta permusuhan terbuka yang semakin berleluasa terhadap umat Islam.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata tindakan tersebut dapat disaksikan dunia baru-baru ini menerusi ucapan populis serta penerbitan karikatur yang menggambarkan Nabi Muhammad SAW.

“Malaysia menjunjung hak kebebasan bersuara serta hak asasi manusia selagi mana ia digunakan secara bertanggungjawab dan penuh hormat, sekali gus tidak menafikan serta melanggar hak pihak lain,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Hishammuddin, dalam konteks ini ia mencemarkan serta mengecam Nabi Muhammad SAW yang dianggap paling mulia dalam Islam dan mengaitkan Islam dengan keganasan telah melangkaui batas hak tersebut.

“Tindakan tersebut bersifat provokatif dan tidak menghormati agama Islam serta lebih daripada dua bilion umat Islam di seluruh dunia,” ujarnya.

Hishammuddin turut menegaskan sebagai negara Islam yang demokratik dan sederhana dengan masyarakat berbilang etnik serta agama.

“Malaysia akan terus memperjuangkan dan mengekalkan hubungan damai serta harmoni bukan sahaja sesama rakyat tetapi juga dalam konteks masyarakat global yang majmuk,

“Malaysia akan terus bekerjasama dengan komuniti antarabangsa demi meningkatkan amalan saling menghormati antara setiap agama serta mencegah ekstremisme agama di semua peringkat,” katanya.

Beliau berkata demikian susulan tuduhan tidak berasas oleh Presiden Perancis, Emmanuel Macron ketika membuat kenyataan berhubung insiden pembunuhan guru lelaki, Samuel Paty yang dipenggal kerana menunjukkan karikatur Nabi Muhammad SAW di Paris, baru-baru ini.

Kenyataan Macron itu secara tidak langsung menunjukkan sentimen Islamofobia di Perancis semakin berkembang menyebabkan penduduk beragama Islam di negara ini berdepan dengan tekanan dan sering dijadikan ‘sasaran’ sekiranya berlaku insiden jenayah.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri juga telah menulis surat mewakili kerajaan Malaysia dan umat Islam di negara ini berhubung isu tersebut oleh akhbar Charlie Hebdo kepada Duta Perancis di Malaysia.

Beliau menerusi hantaran di media sosialnya berkata, surat tersebut akan dihantar kepada Kedutaan Perancis di Malaysia semalam.

“Bersempena dengan bulan Rabi’ul Awwal yang juga bulan kelahiran Rasulullah SAW, saya hadiahkan beliau sebuah buku bertajuk al-Shama’il al-Muhammadiyyah (The Sublime Qualities of the Prophet Muhammad,

“Perancis adalah antara negara Eropah pertama mengadakan hubungan diplomatik dengan Malaysia selepas negara ini mencapai kemerdekaannya pada 1957,

“Semoga peristiwa ini memberi pengertian yang besar dalam memaknakan lagi hubungan erat antara Malaysia dan Perancis,” kata Dr Zulkifli. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply