KUALA LUMPUR, 5 Okt – Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri hari ini menegaskan beliau terpaksa membatalkan Sidang Media Khas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada hari ini bagi menggelakkan risiko penularan wabak COVID-19.
Menurut beliau, pembatalan dibuat serta merta selepas Menteri Hal Ehwal Agama didapati positif COVID-19.
“Sebenarnya pagi tadi saya mempengerusikan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri untuk membincangkan tindakan seterusnya untuk mengawal penularan COVID-19 seperti memperkenalkan PKPB zon Kota Kinabalu termasuk Penampang dan Putatan,
“Selepas habis mesyuarat, saya dimaklumkan bahawa Menteri Hal Ehwal Agama didapati positif COVID-19,
“Saya membuat keputusan segera untuk membuat swab test dan balik ke rumah untuk ‘self-quarantine’ (kuarantin kendiri),” jelas Ismail Sabri di akaun media sosial rasminya.
Menteri turut menyatakan bahawa beliau turut berada dalam mesyuarat yang dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Agama.
“Saya tidak mahu Sidang Media itu boleh membahayakan para media,” tegasnya.
Beliau menambah, keputusan ujian saringan hanya akan diketahui esok.
Terdahulu, Sidang Media Khas yang dikendalikan oleh Ismail Sabri sepatutnya ke udara pada pukul 2 petang hari ini telah dibatalkan serta merta sebelum bersiaran.
Menteri Kanan Keselamatan dan Menteri Agama merupakan antara ahli yang hadir ke mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara berkenaan COVID-19 diadakan pada 3 Oktober lalu.
Menteri Agama, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri telah disahkan menghidap wabak COVID-19.
Lantaran daripada itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menjalani kuarantin kendiri. – airtimes.my