Home Semasa COVID-19: 3 kluster baharu di Kedah dan Terengganu

COVID-19: 3 kluster baharu di Kedah dan Terengganu

by M.Daim

PUTRAJAYA, 5 Okt – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hari ini mengesahkan 3 kluster baharu telah dikesan di Kedah dan Terengganu.

2 daripada kluster terbabit melibatkan kes indeks yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.

Di Kubang Pasu, 2 kluster telah dikesan iaitu Kluster Bah Sintok dan Kluster Jeram.

Seramai 12 orang individu telah dikesan positif COVID-19 dari Kluster Bah Sintok. Kes indeks kluster melibatkan seorang lelaki rakyat tempatan yang pulang dari Sabah pada 20 September lalu.

“Kes mempunyai gejala demam, selesema dan sakit kepala sejak 22 September 2020. Saringan COVID-19 dikesan positif pada 2 Oktober 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah,” jelas Noor Hisham dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, seramai 165 individu kontak rapat kluster ini telah disaring dengan 61 daripadanya disahkan negatif sementara 92 lagi sedang menunggu keputusan.

Sementara itu, seramai 65 individu telah disaring berikutan kewujudan Kluster Jeram. Kes indeks merupakan seorang wanita rakyat temaptan yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.

“Kes bergejala batuk dan sakit kepala sejak 25 September 2020 dan telah mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Tunjang pada 28 September 2020 di mana saringan COVID-19 dijalankan,

“Kes dikesan positif pada 29 September 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah,” kata kenyataan itu.

Sehingga kini, seramai 4 individu termasuk kes indeks telah disahkan menghidap COVID-19. 50 individu telah disahkan negatif sementara 11 lagi sedang menunggu keputusan ujian saringan.

Pada masa yang sama, Noor Hisham menjelaskan proses pembersihan dan nyah kuma di fasiliti kesihatan yang terlibat telah dijalankan.

Di Kuala Nerus, seramai 7 orang individu telah dikesan dari Kluster Bah Tanjung.

Kes indeks kluster ini melibatkan seorang lelaki rakyat tempatan yang mempunyai sejarah perjalanan ke Semporna, Sabah pada September lalu.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, kes indeks telah mengalami gejala semenjak 28 September dan disahkan menghidap wabak COVID-19 dua hari kemudian.

“Saringan kontak rapat telah dijalankan dan 6 lagi kes positif COVID-19 dikenal pasti. Semua kes positif ini melibatkan warganegara Malaysia,” jelas beliau.

Seramai 245 individu telah disaring dari kluster ini dengan 113 dikesan negatif dan 125 lagi sedang menunggu keputusan ujian saringan.

Sehingga kini, Malaysia mempunyai 37 kluster COVID-19 yang sedang aktif di seluruh negara. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply