KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini menegaskan Malaysia berpegang teguh untuk menuntut hak di kawasan perairan Laut China Selatan.
Beliau memetik surat yang dihantar oleh Perutusan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menyuarakan pendirian Malaysia kepada Setiausaha Agung PBB pada akhir Julai lalu.
“Kita dengan jelas menegaskan bahawa Malaysia sebagai negara berdaulat mempunyai hak ke atas kawasan perairan di mana pelantar benua yang berlanjutan lebih dari 200 batu nautika dari garis sempadan wilayah perairan di utara Laut China Selatan,
“Tuntutan ini adalah berdasarkan dibawah Article 76 (7) of Law of The Sea 1982 (UNCLOS 1982),” jelas Menteri Luar yang merujuk surat tersebut.
Surat yang sama turut menolak tuntutan Beijing di perairan Laut China Selatan.
“Malaysia seterusnya menentang perakuan Republik Rakyat China bahawa mereka berhak ke atas kawasan perairan tersebut berdasarkan kepada sejarah (historic rights),
“Kerajaan juga menganggap bahawa tuntutan Republik Rakyat China terhadap entiti-entiti maritim di Laut China Selatan tidak mempunyai sebarang asas dibawah undang-undang antarabangsa,
“Oleh itu, Kerajaan Malaysia secara keseluruhannya menolak protes Republik Rakyat China seperti yang dinyatakan melalui Nota Verbale tersebut,” ujarnya ketika menjawab soalan tambahan dari Ahli Parlimen Arau.
Selain itu, Hishamuddin turut menegaskan isu ini perlu ditangani dengan lebih berhati-hati.
“Malaysia sejak dahulu komited untuk menyelesaikan isu Laut China Selatan secara konstruktif, menggunakan forum dan saluran diplomatik yang bersesuaian,
“Sebab itulah, Kerajaan Malaysia secara konsisten telah mengemukakan Nota Bantahan kepada negara-negara yang mana kapal mereka didapati menceroboh perairan negara ini,
“Tindakan tersebut diambil selaras dengan undang-undang antarabangsa dan pendirian Malaysia yang mempertahankan hak tuntutan perairan negara,” kata Menteri Luar.
Malaysia tetap menolak tuntutan China di Laut China Selatan. Negara tetap mencari jalan penyelesaian konstruktif tanpa mengadaikan hak perairan tanah air. – airtimes.my