Home Semasa PGA rampas pelbagai barangan bernilai lebih RM700,000

PGA rampas pelbagai barangan bernilai lebih RM700,000

by Bernama

KOTA BHARU, 25 Julai – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 merampas pelbagai jenis barangan dan kenderaan bernilai RM726,789 serta menahan dua lelaki dalam empat operasi berasingan di Rantau Panjang, Pasir Mas dan Kuala Jambu, Tumpat, semalam.

Pegawai Pemerintah PGA 9 Supt Nor Azizan Yusof berkata dalam serbuan pertama pada 5.15 pagi, pihaknya merampas 20 ekor lembu jenis ‘Short Horn Heifers’ bersama sebuah lori bernilai RM310,000 melalui sekat pintas di Jeram Perdah, Pasir Mas dan menahan dua lelaki iaitu pemandu serta kelindan yang berusia 40-an.

“Semakan mendapati nombor pendaftaran kenderaan tidak sama seperti yang telah didaftarkan, manakala lembu yang dibawa tidak mempunyai cop pengesahan rasmi daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan.

“… akuan mulut pemandu mendakwa lembu ternakan itu hendak dibawa ke kandang berdekatan di Kampung Jejawi, Tumpat,” katanya ketika dihubungi, dan menambah kes disiasat menurut Seksyen 36 (1) Akta Binatang 1953 iaitu memindahkan haiwan tanpa kebenaran.

Dalam serbuan kedua pada 11.30 pagi, beliau berkata pihaknya merampas beras Siam pelbagai jenama seberat 1,691 kilogram (kg) dan beras pulut seberat 75 kg di dalam sebuah stor di Kampung Kebit dekat Kelaboran, Tumpat dengan anggaran nilai keseluruhan RM7,289, dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.

Selain itu, sebanyak  1,479 gulung kain pasang bernilai RM315,800 yang dimuatkan di dalam sebuah kenderaan, dipercayai cuba diseludup ke negara jiran, turut dirampas dalam operasi berdekatan Kampung Simpangan, Tumpat pada 1 tengah hari.

Beliau berkata pihaknya menunggu kedatangan individu untuk menuntut barangan terbabit hampir 20 minit sebelum bertindak menyita kenderaan dan barang berkenaan yang kemudian dibawa  ke Balai Polis Kuala Jambu untuk tindakan lanjut dan kes disiasat menurut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967.

Rampasan seterusnya melibatkan daun ketum seberat 0.69 tan bersama sebuah kereta dan motosikal di Kubang Pake Iyaa, Pasir Mas pada 6 petang semalam.

“Dalam kejadian ini sepasukan anggota Strike Force telah membuat intipan dan ternampak lima lelaki sedang memunggah longgokan plastik.

“Menyedari kehadiran pasukan kami, kesemua mereka terjun ke Sungai Golok dan dipercayai berenang ke negara jiran. Pemeriksaan yang dijalankan di kawasan sekitar menemukan sebuah kereta dan motosikal yang membawa balutan plastik mengandungi daun ketum,” kata Nor Azian.

Beliau berkata kesemua daun ketum dan kenderaan bernilai RM93,700 dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – Bernama

 

 

Related Articles

Leave a Reply