Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Op Benteng: Tentera tahan 7 PATI Indonesia bersama barang rampasan bernilai RM28 ribu

Op Benteng: Tentera tahan 7 PATI Indonesia bersama barang rampasan bernilai RM28 ribu

by Air Times News Network

JOHOR BAHRU, 7 Julai – Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya menahan 7 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia yang cuba menyusup keluar dan masuk ke negara ini dalam Operasi Benteng (Op Benteng) di Ladang Kurnia, Batu Layar, Kota Tinggi hari ini.

Sel Perhubungan Raya Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) dalam satu kenyataan berkata, penahanan kesemua PATI jam 4.30 pagi itu ketika pasukan Rejimen ke-61 Artileri Diraja (61 RAD) sedang melakukan rondaan di kawasan tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Bgd).

“Pasukan 61 RAD yang diketuai Kapten Mohd Norhisham Izwandy Jamain telah menahan 2 lelaki dan 1 perempuan dipercayai yang akan pulang ke Indonesia iaitu tangkapan kering,

“Manakala 4 lagi individu (perempuan) adalah tangkapan basah iaitu dipercayai yang baru tiba ke negara ini,” kata kenyataan itu.

Selain itu, pihak tentera juga merampas 11 buah telefon bimbit, barang kemas dan juga wang tunai sebanyak RM4,310 serta Rupiah 4,206,840 (RM1,240) dengan nilai rampasan keseluruhan kira-kira RM28,000.

“61 RAD masih meneruskan usaha pencarian dan penjejakkan di sekitar kawasan Ladang Kurnia, Batu Layar bagi mengesan saki baki yang lain terutama individu yang bertindak sebagai tekong,” ujarnya.

Kesemua PATI yang ditahan bersama rampasan dibawa ke Balai Polis Bayu Damai untuk tindakan lanjut sebelum menjalani ujian saringan Covid-19 di Pejabat Kesihatan Kota Tinggi. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply