Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat COVID19: Sesi pembelajaran, latihan tetap diteruskan di PUSASDA – Kompeni Sarjan Mejar

COVID19: Sesi pembelajaran, latihan tetap diteruskan di PUSASDA – Kompeni Sarjan Mejar

by Nurulhuda

PORT DICKSON, 8 Julai – Sesi pembelajaran dan latihan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) tetap diteruskan walaupun negara dilanda wabak pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan oleh kerajaan.

Walau bagaimanapun, latihan yang dijalankan adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya dan Tentera Darat (TD) khasnya, bagi menangani penularan wabak berkenaan di negara.

Aspek kebersihan dan penjarakan antara satu sama lain sentiasa menjadi fokus utama para pegawai dan jurulatih sepanjang perajurit muda menjalani latihan di pusat latihan tersebut.

Kompeni Sarjan Mejar Batalion 1 di PUSASDA, Pegawai Waran Dua Mohd Jefri Junus semasa ditemuramah AirTimes

Kompeni Sarjan Mejar Batalion 1 di PUSASDA, Pegawai Waran Dua Mohd Jefri Junus berkata sepanjang tempoh pelaksanaan PKP, perajurit muda tetap meneruskan latihan dan pembelajaran mengikut kumpulan-kumpulan yang telah dibahagikan.

Menurut beliau, tiada latihan luar atau amali yang dijalankan di luar kompeni sepanjang tempoh tersebut.

“Mereka (perajurit muda) hanya melaksanakan sesi pembelajaran di kompeni masing-masing dan melakukan latihan jasmani untuk mengekalkan stamina,” ujarnya.

Sepanjang PKP dilaksanakan, setiap jurulatih di PUSASDA perlu menentukan penjarakan sosial 1 meter antara perajurit muda.

“Jurulatih juga membuat penjarakan semasa perajurit muda berbaris, dimana setiap kompeni akan dikuarantin dan berbaris mengikut kompeni masing-masing,” katanya.

Mohd Jefri yang bertugas di PUSASDA semenjak 2017 berkata pada siri tahun ini, Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 191/19 terpaksa diubah mengikut SOP yang ditetapkan dengan membuat penjarakan.

Mengikut perbarisan sebelum ini, perbarisan tamat latihan dianggarkan seramai 1,700 perajurit muda. Namun disebabkan PKP, hanya seramai 730 orang sahaja yang berada di padang kawad dalam perbarisan tamat latihan.

Pada siri ini juga, ibu bapa tidak dibenarkan untuk datang menyaksikan perbarisan tamat latihan anak-anak mereka disebabkan wabak COVID-19. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply