Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Udara Setelah latihan ditangguh 60 hari, kini 3 Pegawai dan 28 anggota bergelar PASKAU

Setelah latihan ditangguh 60 hari, kini 3 Pegawai dan 28 anggota bergelar PASKAU

by Nurulhuda

PEKAN, 5 Jun – Majlis Penganugerahan Beret Pasukan Khas TUDM (PASKAU) dan Penutup Kursus Komando TUDM Siri 27/2020 telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Sri Ackbal Abdul Samad TUDM bertempat di Bukit Ibam, Pahang, pada Khamis.

Dalam acara tersebut, seramai 3 pegawai dan 28 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) telah dianugerahkan beret biru PASKAU kerana berjaya melepasi cabaran serta latihan asas komando yang berlangsung selama 12 minggu.

Kursus ini yang bermula pada 13 Januari 2020 sepatutnya tamat pada 11 April lalu. Namun, akibat penularan wabak pandemik COVID-19, ianya telah menjejaskan fasa latihan dan majlis penutup kursus ini.

Kursus ini terpaksa ditangguhkan atas nasihat kerajaan dan latihan akhir kursus ini yang tertangguh selama 60 hari telah disambung semula pada 15 Mei 2020.

Panglima Tentera Udara, dalam ucapanya mengingatkan supaya anggota Komando TUDM bersedia memikul tanggungjawab sebagai anggota PASKAU dalam melaksanakan operasi-operasi khas yang mencabar dan berisiko tinggi.

“Anggota Komando TUDM sewajarnya melengkapkan penguasaan diri dalam kemahiran dan pengetahuan yang tinggi dalam pelbagai aspek teknikal, taktikal serta strategik bagi menentukan setiap anggota PASKAU mampu untuk melaksanakan setiap misi atau operasi,

“Selain daripada itu, sikap yang positif juga adalah amat penting terutama dalam memberi komitmen yang sepenuhnya bagi kepentingan organisasi TUDM amnya dan PASKAU khasnya demi mempertahankan kedaulatan negara yang tercinta,” katanya.

Anak jati Terengganu, Lt Ahmad Musthofalkarami Sabri TUDM telah dipilih sebagai pelatih terbaik untuk siri kursus kali ini.

“Beliau mendapat pendidikan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuching sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal dan telah ditauliahkan pada 31 Mac 2018,

“Lt Ahmad Musthofalkarami sebelum ini bertugas di No. 5 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan sebagai Pegawai Kejuruteraan,” jelas TUDM dalam kenyataan, hari ini.

Turut hadir ke upacara ini adalah Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato’ Mohammad Salleh Osman TUDM; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Lt Jen Dato’ Roshaimi Zakaria TUDM; Pegawai Memerintah Sekolah Latihan Tempur TUDM, Lt Kol Jafridin Bahari TUDM dan Pegawai-pegawai Kanan TUDM serta para jurulatih.

Upacara Penganugerahan Beret PASKAU dan Penutup Kursus Komando TUDM kali ini adalah penutup kursus yang pertama dilaksanakan dalam pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menjadi sebagai antara Prosedur Operasi Standard (SOP) norma baharu mendepani cabaran COVID-19. – airtimes.my

Geleri Gambar:

Related Articles

Leave a Reply