Home Pertahanan dan Keselamatan UPNM perlu lebih kreatif, inovatif hadapi norma baharu – Agong

UPNM perlu lebih kreatif, inovatif hadapi norma baharu – Agong

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 4 Jun – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) digalakkan supaya lebih kreatif dan inovatif dalam menggunakan platform media sosial bagi menjalankan acara-acara utama universiti yang telah dirancang.

Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar UPNM tidak berkompromi ketika melaksanakan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dalam talian sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat wabak COVID-19.

Seri Paduka Baginda, selaku Tuanku Canselor UPNM bertitah demikian ketika sesi sidang video khas bersama Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral, Datuk Abdul Halim Jalal, pagi tadi.

Baginda juga menyatakan rasa berpuas hati dengan usaha dan inisiatif UPNM melaksanakan secara aktif PdP dalam talian bagi memastikan para pelajar tidak terjejas pengajian mereka.

“UPNM diingatkan tidak seharusnya berkompromi dalam cara dan kualiti PdP dalam talian. Segala kemahiran para pensyarah juga perlu dipertingkatkan,” titah Baginda.

Dalam masa yang sama Baginda turut menggesa semua warga UPNM untuk membiasakan diri dengan norma baharu bukan sahaja dalam amalan hidup harian malahan ditempat kerja serta patuh dengan segala arahan yang telah dikeluarkan oleh kerajaan.

UPNM dalam kenyataan berkata, sidang video khas ini adalah bagi mengangkat sembah hal berkaitan perjalanan pengoperasian UPNM sepanjang tempoh PKP dan PKPB yang diisytiharkan kerajaan dalam memerangi wabak pendamik COVID-19.

 

Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan menerima mengadap Naib Canselor UPNM, Lt Jen Datuk Abdul Halim Jalal, menerusi sidang video khas hari ini.

“Ia merangkumi strategi-strategi serta pelan tindakan semasa dan pasca COVID-19, khususnya pentadbiran, pengurusan pelajar, PdP serta penyelidikan dan inovasi,

“Seramai 218 orang pelajar yang berada di dalam dan luar kampus menerima bantuan makanan dan keperluan harian, kesihatan dan lain-lain yang dibiayai sepenuhnya kerajaan serta UPNM,

“Kesemua pelajar ini juga telah dihantar pulang secara berperingkat mulai 27 April lalu. Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut memberikan bantuan ihsan kepada UPNM dengan menghantar pulang pelajar ke Sabah pada 22 Mei 2020,” jelas UPNM dalam kenyataan.

Sepanjang tempoh PKP, penyelidik dan warga UPNM juga turut membantu petugas barisan hadapan dengan menghasilkan beberapa produk seperti cecair pembasmi kuman tangan, Pelindung Muka, sut Personal Protective Equipment (PPE) dan Intubation Box.

“Produk-produk ini telah disumbangkan kepada Hospital Serdang, Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Hospital Melaka, Klinik Kesihatan Kem Sungai Besi, Lokasi Sekatan Jalan Raya sekitar Kem Sungai Besi dan Pejabat Kesihatan Cheras,” tambah kenyataan itu. -airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply