Home Pertahanan dan Keselamatan Op Benteng: APMM, TLDM dan Polis Marin perketat rondaan di lorong tikus

Op Benteng: APMM, TLDM dan Polis Marin perketat rondaan di lorong tikus

by Bernama

LUMUT, 5 Jun – Rondaan dan operasi pihak berkuasa melalui Op Benteng Laut serta Op Pintas menjadi faktor kejayaan menghalang pendatang asing atau sindiket penyeludupan daripada memasuki negara terutama melalui jalan tikus.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak, Kapt Maritim Shahrizan Raman berkata sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lepas, tiada kemasukan pendatang tanpa izin dikesan di sepanjang perairan Perak.

Katanya, bagi memastikan tiada kawasan dibolosi, APMM bersama-sama Tentera Laut Diraja Malaysia dan Polis Marin memperketatkan rondaan serta pemantauan di beberapa lokasi panas yang sering dijadikan jalan tikus oleh pendatang asing.

“Antara kawasan yang sering menjadi lokasi panas adalah Hutan Melintang, Pantai Remis dan Lekir dan kita turut meletakkan anggota di darat sebagai langkah pengawasan bagi menutup ruang daripada pendatang asing terus mencerobohi negara.

“Tindakan ini dilakukan bagi mematuhi saranan kerajaan dengan menyekat masuk pendatang asing ke Malaysia bagi menghalang penyebaran wabak COVID-19,” katanya ketika ditemui media di pejabatnya di Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak, di sini pada Khamis.

Menurut Shahrizan berkata sepanjang tempoh PKP hingga hari ini, pihaknya berjaya mengusir 27 kapal nelayan Indonesia daripada perairan negara dan turut merampas peralatan penangkapan ikan mereka dengan anggaran  nilai keseluruhan RM135,000.

Katanya, sepanjang operasi itu tiada penangkapan dibuat dan hanya pengusiran dilakukan bagi mengurangkan risiko pandemik yang mungkin dibawa oleh nelayan asing.

“Kita tidak mahu ambil risiko kerana sekiranya kita tahan nelayan ini, kita perlu meletakkan mereka di pusat-pusat kawalan yang boleh menyebabkan penyakit merebak sekiranya tidak dijaga rapi. Oleh itu, kita usir mereka untuk pulang ke negara mereka semula,” katanya.

Shahrizan berkata pengusiran nelayan asing itu penting kerana mereka dipercayai turut menjadi mata-mata kepada sindiket penyeludupan pendatang asing yang sering mencari peluang untuk membolosi pertahanan negara.

“Kita turut menghidu ada cubaan sindiket mengupah nelayan tempatan untuk membawa masuk pendatang asing dari Indonesia dalam jumlah yang kecil dengan tawaran upah yang lumayan, namun kita telah menasihati nelayan untuk tidak terlibat,” tambahnya. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply