Home Politik MPT iktiraf Muhyiddin sebagai pemangku Pengerusi BERSATU

MPT iktiraf Muhyiddin sebagai pemangku Pengerusi BERSATU

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 5 Jun – Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) malam tadi mengiktiraf tugas yang digalas Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pemangku Pengerusi yang sah.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia selaras Fasal 16.9 Perlembagaan BERSATU setelah peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi pada 24 Februari 2020.

MPT juga menyokong dan memberikan mandat penuh kepada kepimpinan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8.

“Pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong berlandaskan Perlembagaan negara,” ujarnya.

Menurutnya mesyuarat juga mengesahkan bahawa keputusan untuk BERSATU keluar dari Pakatan Harapan (PH) telah dimuktamadkan semasa mesyuarat MPT pada 23 Februari lalu dan pengumuman rasmi dibuat oleh Muhyiddin selaku pemangku Pengerusi pada 24 Februari itu adalah sah dan teratur.

Selain itu, berkenaan status pelantikan Setiausaha Agung (SUA) BERSATU, MPT mengesahkan bahawa Datuk Marzuki Yahya telah diberhentikan melalui surat bertarikh 18 Mac lalu.

“Pelantikan saya (Hamzah) sebagai SUA yang baru pada 26 Mac lalu adalah sah dan teratur mengikut perlembagaan parti,

“Mesyuarat MPT juga mengesahkan bahawa keahlian Tun Mahathir, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Datuk Amiruddin Hamzah dan Dr Maszlee Malik terhenti secara serta-merta menurut peruntukan Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan Bersatu dan tafsiran MPT berhubung terhentinya keahlian mereka adalah muktamad,” jelasnya.

Tambahnya lagi, MPT turut mengesahkan Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya adalah Setiausaha Kerja BERSATU yang sah dan sebarang surat pemakluman yang ditandangani oleh beliau adalah terpakai secara rasmi.

Hamzah berkata, mesyuarat yang berlangsung di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) kira-kira jam 10 malam tadi berjalan dengan lancar dan penuh tertib.

Selain pada itu, MPT mengesahkan keputusan memuktamadkan penyertaan BERSATU dalam gabungan parti politik baru yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin BERSATU adalah bertepatan dengan matlamat, tujuan dan dasar parti.

“Dengan pengesahan dan ketetapan yang diambil pada mesyuarat MPT semalam, saya menyeru ahli dan pimpinan akar umbi untuk kekal istiqamah bersama parti demi perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan tanah air,” kata Hamzah. – airtimes.my

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply