Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut TLDM pertingkat kepakaran anggota dalam ilmu peperangan dan pengendalian aset baharu

TLDM pertingkat kepakaran anggota dalam ilmu peperangan dan pengendalian aset baharu

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 28 Apr – Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany berkata Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) komited untuk melahirkan warga the Navy People yang kompeten.

Menurut Mohd Reza, selain meningkatkan keupayaan aset dan pembangunan infrastruktur, TLDM kini sedang membangunkan Projek Class Management bagi memfokuskan kepakaran warga the Navy People mengikut 5 kelas kapal yang baharu.

“TLDM yakin dengan pewujudan projek ini, warga the Navy people akan menjadi lebih mahir dan kompeten khususnya di dalam pengendalian kelas kapal masing-masing,

“Pelaksanaan kursus rintis untuk kelas kapal Patrol Vessel dan Littoral Mission Ship (LMS) akan dilaksanakan pada 2021,” kata beliau dalam perutusan sempena Hari TLDM ke-86 pada Isnin.

Jelas beliau lagi, TLDM juga merancang untuk menghantar warga the Navy People untuk berkursus di luar negara bagi meningkatkan kemahiran.

“TLDM pada ketika ini sedang menjalinkan kerjasama dengan Kedutaan Negara Asing di Malaysia untuk memperluaskan kursus-kursus di luar negara terutamanya kursus kepakaran khusus seperti Pasukan Khas, Penyelam dan Chemical, Biological, Radiological, Nuclear and Damage Control,

“Negara seperti Jerman, Turki dan Korea Selatan merupakan antara negara yang telah menawarkan beberapa siri kursus baharu kepada TLDM,

“Inisiatif ini akan terus dipergiatkan kepada negara-negara yang lain dan dilihat dapat meningkatkan lagi peluang pegawai dan anggota TLDM untuk menghadiri kursus di luar negara bagi memantapkan lagi pengetahuan serta kemahiran khusus warga yang terlibat,” ujarnya.

Pada masa sama, TLDM turut melaksanakan kerjasama dengan pusat-pusat latihan awam bagi memantapkan lagi pembangunan peningkatan kemahiran warganya.

“Pada ketika ini, dua kontrak latihan bakal dilaksanakan iaitu Kontrak Latihan Penerbangan bersama Pusat Latihan Penerbangan Awam untuk bakal-bakal juruterbang, jurumalim dan jurulatih penerbangan TLDM,

“Dan yang keduanya, adalah meneruskan Kontrak Latihan Aplikasi Induksi Teknisyen bagi anggota dari Cawangan Kejuruteraan menjalani latihan di pusat latihan awam untuk menampung kekangan kemudahan di Pusat Latihan TLDM,” jelasnya.

Beliau juga berkata, Program Recognition of Prior Experiential Learning (RPEL) telah mula diperkenalkan untuk mengiktiraf kepakaran anggota dari semua cawangan di peringkat kebangsaan melalui kerjasama strategik di antara TLDM dan pihak PERHEBAT.

“Program ini adalah inisiatif bagi menyeragamkan pengiktirafan yang lebih tersusun dan melayakkan anggota LLP memperolehi Diploma Kemahiran Malaysia sebagai persediaan sebelum melangkah ke alam persaraan,” tambahnya.

Malah ujarnya, TLDM akan terus berusaha untuk memastikan setiap lapisan warganya diberikan laluan kerjaya yang lebih baik dan juga skim penambahbaikan perkhidmatan yang merangkumi keseluruhan pegawai dan anggota.

“Inisiatif ini adalah sebagai perangsang kepada semua the Navy People untuk terus memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang dan seterusnya membanggakan organisasi yang kita semua sayangi ini,” kata Mohd Reza. – AirTimes

 

Related Articles

Leave a Reply