Home Semasa PKP: Henti merungut jalan sesak akibat sekatan polis- KPN

PKP: Henti merungut jalan sesak akibat sekatan polis- KPN

by Bernama

KUALA LUMPUR, 6 Apr – Orang awam diminta agar berhenti menyalahkan anggota polis ekoran berlaku kesesakan lalu lintas ketika sekatan jalan raya, kerana tugas pasukan keselamatan itu adalah bagi memastikan individu berkenaan tidak keluar rumah tanpa alasan munasabah semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata orang ramai seharusnya mematuhi setiap arahan PKP yang dikuatkuasakan bagi membataskan pergerakan keluar rumah individu dalam usaha kerajaan memutuskan rantaian penularan COVID-19 di negara ini.

“Kami terpaksa membuat sekatan jalan raya di seluruh negara bagi membendung penularan wabak COVID-19, selain mengehadkan pergerakan keluar rumah orang ramai.

“Saya menasihatkan orang ramai yang tidak tersenarai dalam sektor perkhidmatan perlu untuk memahami arahan PKP, dan perlu melalui sekatan jalan raya,” katanya ketika ditemui Bernama di Bukit Aman, di sini.

Abdul Hamid berkata sekiranya berlaku kesesakan lalu lintas semasa sekatan jalan raya, orang awam diminta bersabar kerana pihaknya tidak mahu terlepas pandang jika ada individu tidak berkenaan keluar dari rumah.

“Orang ramai jangan merungut dengan isu remeh seperti berlaku kesesakan lalu lintas sekitar 10 hingga 15 minit di lebuh raya mahupun di pusat bandar.

“Saya minta mereka fikirkan keadaan kesesakan lalu lintas di lebuh raya dan Kuala Lumpur sebelum PKP dilaksanakan… jangan begitu manja dengan menyalahkan sekatan jalan raya,” katanya, yang kesal kerana anggotanya turut menerima cacian daripada orang ramai kerana melakukan sekatan jalan raya di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata beliau sendiri turun ke lapangan untuk melihat anggota polis yang sedang bertugas di sekatan jalan raya dan menasihatkan mereka supaya bersabar dan bekerja dengan profesional.

“Alhamdulillah mereka menunjukkan kesabaran yang tinggi dalam menangani isu ini (menerima cacian). Orang ramai kena ingat bahawa anak buah saya, pihak tentera dan lain-lain pihak berkuasa yang bertugas di sekatan jalan raya seluruh negara juga mudah terdedah dengan risiko COVID-19,” katanya.

Abdul Hamid berkata kesemua mereka ini sedang berjuang untuk orang ramai dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19.

Dalam perkembangan lain, ditanya sama ada petugas media boleh melalui laluan khas seperti petugas barisan hadapan lain, Abdul Hamid berkata petugas media dibenarkan melalui laluan berkenaan kerana mereka juga tersenarai dalam perkhidmatan perlu.  – Bernama

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply