Home Semasa Henti tomahan kerajaan pintu belakang – Sultan Selangor

Henti tomahan kerajaan pintu belakang – Sultan Selangor

by Nurulhuda

SHAH ALAM, 16 Mac – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya tohmahan berkenaan pembentukan kerajaan pintu belakang atau rampasan kuasa terhadap pentadbiran negara perlu dihentikan.

Baginda bertitah, tohmahan seumpama itu adalah tidak bertepatan sama sekali kerana Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah diberi kuasa untuk menggunakan budi bicara seperti yang diperuntukkan di dalam undang-undang.

“Baru-baru ini kita telah melihat perubahan kepada tampuk pemerintahan Kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh kerajaan Perikatan Nasional bagi menggantikan kerajaan Pakatan Harapan,

“Beta sendiri telah mengikuti perkembangan perubahan kuasa tersebut yang telah dilaksanakan oleh Yang di-Pertuan Agong dengan cukup berhati-hati selaras dengan peruntukan yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-14, Shah Alam, hari ini.

Sultan Selangor turut mengesa kerjasama yang terjalin di antara kerajaan Negeri Selangor dengan Persekutuan diteruskan walaupun perbezaan tampok pemerintahan dan ideologi politik demi kelangsungan pembangunan ekonomi serta kemakmuran rakyat di negeri berkenaan.

“Dalam menegakkan pemerintahan berkonsepkan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, Institusi Raja tidak sepatutnya dilihat terlibat secara langsung dengan isu-isu yang berkaitan dengan politik dan seharusnya kekal sebagai sebuah badan yang mengatasi politik,” tegas Baginda.

Baginda juga bertitah agar perpaduan dan keharmonian harus sentiasa diperlihara untuk menjamin kestabilan serta kesentosaan negeri.

“Rakyat hendaklah sentiasa menghormati di antara satu sama lain dan tidak membesarkan perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti sesuatu agama, kaum, bangsa atau keturunan yang boleh menggugat keharmonian,

“Gunakanlah kemajuan teknologi yang ada sekarang ini untuk perkara-perkara yang positif dan boleh menyumbang kepada perpaduan masyarakat. Bukannya untuk menyebarkan fitnah dan berita palsu serta menghina sesesorang yang boleh menyebabkan perpecahan masyarakat,

“Rakyat sebenarnya telah penat dan gelisah melihat pergolakan politik yang melanda Negara semenjak selepas pilihanraya ke 14 yang lalu sehinggalah ke hari ini,

“Kita semua sedia maklum betapa rakyat ketika ini mengalami kesempitan hidup yang amat sangat dengan kos sara hidup meningkat akibat kemelesetan ekonomi dunia, matawang ringgit merudum, peluang pekerjaan mengecil mengakibatkan peningkatan pengangguran serta penularan COVID-19 ketika ini,

“Ahli-ahli politik dilihat sering kali berbalah di dalam isu-isu politik yang tiada berkesudahan sehingga melupakan tanggungjawab sebenar mereka untuk melaksanakan amanah yang diberikan oleh rakyat untuk mentadbir Negeri bagi faedah kesejahteraan rakyat,” titah Baginda.

Oleh itu, Sultan Sharafuddin menasihatkan wakil rakyat Selangor supaya sentiasa memelihara kestabilan politik serta pentadbiran negeri berkenaan dan memberikan tumpuan kepada penyelesaian permasalahan bagi memastikan rakyat dapat keluar daripada kesempitan hidup.

Dalam masa yang sama, Sultan Sharafuddin turut menzahirkan penghargaan kepada tentera, polis, bomba serta anggota keselamatan yang bertugas dengan dedikasi bagi memastikan keselamatan rakyat dan negeri terus dalam keadaan aman dan sejahtera.

 

Related Articles

Leave a Reply