Home Politik Ahmad Zahid nafi UMNO sasar jawatan TPM

Ahmad Zahid nafi UMNO sasar jawatan TPM

by Bernama

KUALA LUMPUR, 7 Mac – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan parti itu menyasarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata pihaknya telah mengemukakan beberapa nama Ahli Parlimen BN kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin beberapa hari lepas untuk memilih individu yang benar-benar layak bagi mengisi jawatan dalam kabinet.

“Bagaimanapun, itu adalah budi bicara Perdana Menteri untuk menentukan siapa yang bakal dilantik setelah mengambil kira beberapa pertimbangan mengikut senarai yang diputuskan oleh UMNO dan BN,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perbicaraan kesnya di Mahkamah Tinggi, pada Jumaat.

Ahmad Zahid yang juga bekas timbalan perdana menteri, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya bagi kes pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 bagi kes pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Sebelum ini, dalam ucapan khas Perdana Menteri bertajuk ‘Rayuan Kepada Rakyat Malaysia’, Muhyiddin berjanji akan melantik anggota jemaah menteri daripada kalangan individu yang bersih, berintegriti dan berkaliber. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply