Home Politik PKR Johor tidak akan tolak ansur isu setia, disiplin ahli

PKR Johor tidak akan tolak ansur isu setia, disiplin ahli

by Bernama

JOHOR BAHRU, 6 Mac — Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor tidak akan bertolak ansur dengan isu kesetiaan dan disiplin anggota partinya kerana mahu menumpukan perhatian kepada usaha mengukuhkan parti politik itu.

Semasa menegaskan perkara itu, Pengerusi PKR Johor Syed Ibrahim Syeh Noh berkata sekiranya terdapat mana-mana ahli yang sudah lari daripada dasar perjuangan parti dan menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN), mereka sepatutnya keluar secara terhormat daripada parti.

“Saya ingin tegaskan bahawa kalau ada mereka yang bersama dengan Gabungan Baharu, bersama dengan PN, silalah keluar dengan secara terhormat supaya dapat kita lihat di situ dengan jelas apakah pendirian masing-masing.

“Kita tidak mahu lagi bertolak ansur dari segi kesetiaan dan disiplin parti. Saya telah sebutkan bahawa antara ciri-ciri penting untuk parti bersatu, untuk parti kukuh ialah apabila ada kesatuan pendirian, ada kesetiaan, ada keinginan kemahuan untuk melaksanakan tanggungjawab dan amanah diberikan parti dan rakyat,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas PKR negeri di sini hari ini.

Syed Ibrahim berkata demikian sebagai mengulas tindakan Dr Chong Fat Full yang mengumumkan  keluar PKR dan menjadi calon Bebas serta menyatakan sokongan kepada kerajaan Gabungan Baharu, dua hari lepas.

Sementara itu, Syed Ibrahim berkata pihaknya akan melaksanakan dan menggerakkan petisyen dalam kalangan pengundi dan rakyat di DUN Pemanis supaya menolak Dr Chong sebagai ADUN mereka dan seterusnya (meminta beliau) meletakkan jawatan dengan serta-merta.

Syed Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata petisyen itu akan dilaksanakan secara bertulis dan dalam talian bagi mengumpul sebanyak mungkin suara rakyat. -Bernama

Related Articles

Leave a Reply