Home Politik BN berikrar beri sokongan dasar baharu, kembalikan bantuan rakyat – Zahid Hamidi

BN berikrar beri sokongan dasar baharu, kembalikan bantuan rakyat – Zahid Hamidi

by Bernama

KUALA LUMPUR, 1 Mac – Parti-parti dalam Barisan Nasional (BN) akan memberikan dukungan dan sokongan terhadap dasar-dasar baharu yang akan dikemukakan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, kata Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Episod dan babak awan hitam telah berlalu, langit kembali cerah. Kita akan membantu sedaya-upaya bagi menentukan rakyat benar-benar diutamakan dan rakyat harus dibela semula, bantuan kepada rakyat harus dikembalikan semula,” kata Ahmad Zahid yang juga presiden UMNO kepada petugas media yang menunggu di perkarangan Pintu 2 Istana Negara di sini, hari ini.

Beliau bersama-sama lebih 10 kenderaan lagi dilihat keluar dari Istana Negara melalui Pintu 2 pada 12.15 tengah hari. Turut kelihatan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Muhyiddin yang juga presiden Bersatu hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara pada 10.33 pagi. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply