Home Semasa Pertukaran Ketua Polis Johor tepat pada masanya – KPN

Pertukaran Ketua Polis Johor tepat pada masanya – KPN

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 7 Feb – Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menegaskan pertukaran Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din ke Bahagian Pentadbiran, Jabatan Pengurusan Bukit Aman adalah kerana kepakarannya dalam menangani jenayah siber.

Hamid berkata pertukaran Kamaruddin adalah secara kebetulan dan ia adalah ‘bertepatan pada masanya’ kerana beliau mempunyai kepakaran dalam jenayah siber yang ketika ini mula menjadi ancaman di negara ini.

“Sukar untuk menolak pandangan sesetengah masyarakat yang mengaitkan pertukaran Ketua Polis Johor itu dengan ‘insiden itu’ (serangan terhadap Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman oleh sekumpulan gangster di Johor Bahru pada 31 Jan),

“Tetapi kalau nak kaitkan dengan insiden itu, terpulang kepada penilaian anda. Ketua Polis Johor sebelum ini, Mohd Kamarudin mempunyai kepakaran dalam menangani jenayah siber dan khidmat beliau sangat diperlukan,

“Kamaruddin merupakan perintis dalam kumpulan berkenaan dan pertukaran Ketua Penolong Pengarah Bahagian Terrorism (ES) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay sebagai Ketua Polis Johor adalah adalah kerana mahu memberi peluang dan pengalaman kepada beliau,” kata Hamid pada sidang media selepas Majlis Serah Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Bukit Aman, hari ini.

“Beliau (Ayob Khan) perlu didedahkan dan dia sudah melakukan banyak kerja. Saya beri dia peluang ke bawah untuk memimpin dan dia masih muda lagi,

“Ayob Khan sudah terlalu lama, kalau saya biarkan dia lagi di Cawangan Khas sebulan dua lagi, orang akan panggil Ayob Khan pengganas pula, sebab itu memang kerja dia,” jelas Ketua Polis Negara.

Hamid juga menambah, pertukaran pegawai kanan akan dilakukan susulan persaraan seorang ketua atau pengarah.

Terdahulu, PDRM dalam satu kenyataan semalam berkata Kamarudin ditukarkan ke Bahagian Pentadbiran, Jabatan Pengurusan Bukit Aman berkuatkuasa 6 Mac depan.

Susulan itu, Ayob Khan yang kini berpangkat Deputi Komisioner Polis (DCP) akan dinaikan pangkat pemanku Komisioner Polis (CP).

Related Articles

Leave a Reply