Home Semasa Dr Li Wenliang, doktor terawal bagi amaran koronavirus meninggal dunia

Dr Li Wenliang, doktor terawal bagi amaran koronavirus meninggal dunia

by Bernama

ANKARA, 7 Feb  – Doktor Li Wenliang, orang pertama yang memberi amaran mengenai bahaya novel koronavirus, meninggal dunia pada Khamis akibat penyakit itu di sebuah hospital di Wuhan, China, lapor agensi berita Anadolu.

Menurut sumber tempatan, Li menghantar mesej kepada rakan dalam kumpulan alumni sekolah perubatan pada Disember tahun lalu, menyatakan tujuh orang telah dikuarantin di Hospital Besar Wuhan disebabkan penyakit pernafasan yang serupa dengan koronavirus SARS.

Tetapi polis di Wuhan memaksanya menandatangani surat pengakuan yang beliau telah “membuat kenyataan palsu.”

Pada 12 Jan, Li dimasukkan ke hospital selepas disahkan dijangkiti penyakit itu pada 1 Feb.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut mengucapkan takziah di Twitter.

“Kami amat sedih dengan kehilangan Dr. Li Wenliang. Kita semua perlu menghargai usaha yang dilakukannya mengenai koronavirus,” katanya.

Jumlah kematian di China akibat virus maut itu meningkat 564 orang, kata Suruhanjaya Kesihatan Negara (NHC) pada Khamis.

Dalam satu kenyataan, Suruhanjaya itu berkata sebanyak 28,018 kes disahkan telah dilaporkan setakat ini dan 73 orang telah meninggal dunia dalam tempoh 24 jam lalu.

Bilangan orang di bawah pemerhatian perubatan meningkat kepada 186,354, sementara jumlah kes disyaki 24,702.

Novel koronavirus  yang mula dikesan di bandar raya Wuhan dikatakan merebak kepada manusia daripada haiwan, terutama kelawar.

Selain China, virus itu telah merebak ke lebih 20 negara, termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Singapura, Perancis, Rusia, Sepanyol dan India.

Banyak negara telah membawa pulang warganya yang berada di Wuhan –  dan kawasan lain di China yang terjejas, dan mengasingkan mereka.

WHO juga mengisytiharkan darurat kecemasan global. – Bernama

 

 

Related Articles

Leave a Reply