Home Semasa Kementerian Pendidikan kaji pelaksanaan PPSMI untuk dibawa ke Jemaah Menteri

Kementerian Pendidikan kaji pelaksanaan PPSMI untuk dibawa ke Jemaah Menteri

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 7 Feb – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menjalankan kajian berhubung pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak lama lagi.

KPM dalam satu kenyataan berkata, kajian berkenaan akan dibuat dalam masa terdekat  untuk dibawa kepada pertimbangan Jemaah Menteri sebelum pelaksanaanya.

“Pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris bukanlah perkara baharu dalam sistem pendidikan kebangsaan,

“Walaupun KPM telah memansuhkannya secara berperingkat-peringkat mulai 2012, namun Program Dwibahasa (DLP) yang diperkenalkan pada 2016 tetap memberi pilihan kepada sekolah untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris,” jelas kenyataan itu.

Menurut KPM, Tun Dr Mahathir Mohamad, merangkap pemangku Menteri Pendidikan telah menyatakan pandangan beliau berhubung kepentingan murid mempelajari mata pelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris.

Pandangan tersebut telah disuarakan oleh Dr Mahathir dalam sesi pertemuan dengan pengurusan tertinggi KPM pada 30 Januari lalu.

“Dr Mahathir berpendirian bahawa pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris adalah amat penting kerana pengetahuan serta bahan rujukan bagi kedua-dua mata pelajaran tersebut banyak diterbitkan dalam bahasa Inggeris,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Dr Mahathir menyatakan bahawa kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan berhubung pelaksanaan PPSMI di sekolah dan keputusannya akan dibuat mengikut pendapat majoriti anggota Kabinet.

 

Related Articles

Leave a Reply