Home Semasa Kes serangan seksual Anwar terhadap Yusoff Rawther ditutup kerana kekurangan bukti – Jabatan Peguam Negara

Kes serangan seksual Anwar terhadap Yusoff Rawther ditutup kerana kekurangan bukti – Jabatan Peguam Negara

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 14 Jan – Jabatan Peguam Negara tidak akan mendakwa Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim atas dakwaan serangan seksual terhadap bekas penyelidik PKR, Muhammed Yusoff Rawther, kerana kekurangan bukti.

Peguam Cara Negara, Datuk Engku Nor Faiza Engku Atek berkata, setelah mengkaji secara berhati-hati kesemua keterangan yang telah diperoleh dalam kertas siasatan yang diterima daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), terdapat percanggahan-percanggahan fakta yang material yang tidak dapat menyokong sebarang pendakwaan mana-mana orang di bawah seksyen 354 Kanun Keseksaan, atau mana-mana seksyen lain di bawah Kanun yang sama.

“Kami juga mendapati tidak terdapat cukup keterangan untuk membuat pertuduhan mengenai laporan-laporan polis yang dibuat berdasarkan keterangan-keterangan yang ada dalam kertas siasatan.

“Dalam hal keadaan yang demikian, kami bersetuju dengan saranan PDRM supaya kes ini ditutup,

“Selaras dengan amalan biasa, penyiasatan akan dibuka semula sekiranya dan apabila terdapat keterangan baharu,” katanya.

Engku Nor Faiza juga memaklumkan bahawa kes ini tidak melibatkan Peguam Negara, Tommy Thomas kerana pernah dikaitkan dengan Anwar sejak pertengahan tahun 1990an lagi.

“Tommy telah menarik diri daripada membuat apa-apa pertimbangan berhubung kes tersebut dan tidak terlibat dalam apa-apa pertimbangan mengenai kes itu,

“Ini adalah selaras dengan kenyataan media bersama bertarikh 2 Ogos 2018 yang saya keluarkan dengan mantan Peguam Cara Negara II berhubung peranan Peguam Negara dalam perkara yang mengenainya, beliau mungkin terlibat sebelum ini.

“Oleh yang demikian, satu pasukan Timbalan Pendakwa Raya di bawah pengawasan saya telah diamanahkan untuk mengkaji keterangan dan selanjutnya membuat keputusan mengenainya,” kata Engku Nor Faiza.

Pada 4 Disember 2019, Yusoff Rawther membuat perakuan bersumpah mendakwa dicabul Anwar pada 2 Oktober 2018. Bagaimanapun, perkara itu dinafikan presiden PKR itu yang mendakwa sedang berkempen pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson pada tarikh berkenaan.

Related Articles

1 comment

Serangan seksual: Tindakan undang-undang tetap diteruskan – Anwar – Air Times News Network 15 January 2020 - 10:50 am

[…] Artikel berkaitan: Kes serangan seksual Anwar terhadap Yusoff Rawther ditutup kerana kekurangan bukti – Jabatan P… […]

Reply

Leave a Reply