Home Semasa Video semburit: Peguam Negara putuskan tiada pendakwaan kepada mana-mana pihak

Video semburit: Peguam Negara putuskan tiada pendakwaan kepada mana-mana pihak

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 9 Jan – Jabatan Peguam Negara memutuskan tiada perdakwaan kepada mana-mana pihak berhubung video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri kabinet.

Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berkata Timbalan Pendakwa Raya sebulat suara mengesyorkan tiada pertuduhan boleh dibuat berhubung dengan video berkenaan, setelah menyemak keterangan yang dikumpulkan dan dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada Jabatan Peguam Negara.

“Saya sudah menerima syor terbabit dan membuat keputusan tidak mendakwa mana-mana pihak,

“Selaras dengan amalan biasa, penyiasatan boleh dibuka semula jika dan apabila keterangan baru diperoleh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tommy berkata beberapa perbincangan telah diadakan untuk menyemak keterangan dikumpulkan oleh PDRM pada setiap peringkat penyiasatan yang sesuai.

“Beberapa arahan siasatan lanjut telah dikeluarkan kepada PDRM untuk memastikan keterangan mencukupi sebelum apa-apa keputusan mengenai pendakwaan boleh dibuat,

“Sejak 13 Jun 2019, Jabatan Peguam Negara dan PDRM telah bekerja secara bersama dalam meneliti kertas siasatan video seks itu,” katanya.

Beliau berkata siasatan telah dijalankan di bawah seksyen 377B dan 377D Kanun Keseksaan berikutan daripada beberapa laporan polis yang dibuat beberapa individu yang berbeza mengenai video itu.

“Ramai saksi telah ditemubual oleh PDRM untuk memastikan fakta berhubung dengan video dan terdapat tangkapan dan remen beberapa sakti berkaitan dengan penyiasatan,

“Pelbagai keadaan telah menyumbang kepada kelewatan dalam melengkapkan siasatan ini, terutamanya masa yang lama diambil sebelum laporan forensik dimuktamadkan,

“Semasa dalam siasatan, proses undang-undang perlu dipatuhi, keperluan prosedur dan teknikal untuk analisis forensik yang wajar perlu diikuti,” kata kenyataan itu.

Perkara ini termasuklah menangani kekangan dan prosedur kerajaan untuk mendapatkan kelulusan kewangan tambahan bagi membolehkan PDRM melengkapkan penyiasatan, ujarnya.

Menurut Tommy, video-video tersebut telah dihantar dalam dan luar negara untuk menentukan ketulenan dan pengecaman wajah.

“Pernyataan-pernyataan saksi yang telah direkod polis, keterangan dokumentari dikumpulkan dan analisa forensik adalah merupakan sebahagian daripada kertas siasatan yang telah dirujuk kepada jabatan ini untuk keputusan.

“CyberSecurity Malaysia telah membuat kesimpulan walaupun video-video tersebut adalah tulen, pengecaman wajah tidak dapat dipastikan kerana resolusi rakaman video yang rendah yang mana analisis sudah dijalankan,” ujar beliau.

Jelas beliau lagi, disebabkan oleh dapatan yang tidak konklusif tersebut, PDRM telah menghantar untuk dianalisa secara bebas oleh pakar forensik di Amerika Syarikat.

“PDRM menerima keputusan Analisa pada bulan Disember 2019 dan laporan bebas ini mengesahkan dapatan CyberSecurity, antara lainnya, ‘kegagalan mengenal pasti individu-individu dalam video tular itu disebabkan resolusi yang rendah dan kualiti video dan rangka video yang sedikit untuk membolehkan suspek dilihat dengan jelas’,

“Secara berasingan PDRM juga menerima suatu laporan analisa dibuat orang persendirian tanpa diminta. Laporan mengesahkan dapatan kedua-dua laporan di atas bahawa pengenalan identiti tidak boleh dibuat secara konklusif berdasarkan analisa pengecaman wajah,” kata Tommy dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Related Articles

Leave a Reply