Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut Kapal misi pesisir pertama ditauliahkan di China

Kapal misi pesisir pertama ditauliahkan di China

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 6 Jan – Upacara Pentauliahan bagi kapal misi pesisir (Littoral Mission Ship, LMS) yang pertama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah dilaksanakan di Wuchuan Shipbuilding Industry Co. Ltd. Wucang Port, Qidong, Shanghai, China hari ini.

Upacara pentauliahan Kapal Diraja KERIS (KD KERIS) telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.

Terdahulu, Mohd Reza telah membacakan Perintah Pentauliahan sebagai simbolik kepada Pentauliahan Kapal dan turut memakaikan insignia pemerintahan kepada Pegawai Memerintah Pertama KD KERIS, Komander Mohd Zulkarnain Mohd Rawi TLDM.

Untuk rekod, LMS merupakan salah satu daripada lima kelas kapal dalam Program Transformasi Armada 15-ke-5 TLDM. Kontrak perolehan 4 buah LMS telah dimeterai di antara Kementerian Pertahanan Malaysia dengan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB) pada 23 Mac 2017 dengan kerjasama China Shipbuilding & Offshore International Co Ltd (CSOC).

Markas Tentera Laut dalam kenyataan hari ini berkata, perolehan ini merupakan Projek Perolehan aset pertahanan kapital yang pertama daripada negara China. Kapal ke-2 (SUNDANG) dijadual diserahkan pada bulan April 2020 manakala kapal ke-3 dan ke-4 pula dijadual diserahkan pada pertengahan 2021.

“KD KERIS mula dibina pada 31 Julai 2018 di Wuchuan Shuangliu Manufacture Base, Wuhan dan seterusnya dilancarkan oleh isteri Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu iaitu Normah Alwi pada 15 April 2019,

“Upacara Penyerahan Fizikal KD KERIS kepada Kerajaan Malaysia telah disempurnakan oleh Jawatankuasa Penerimaan Akhir yang diketuai oleh Setiausaha Bahagian Perolehan, Kementerian Pertahanan, Dato’ Ahmad Husaini Abdul Rahman pada 31 Disember 2019 yang lalu,” menurut kenyataan itu.

KD KERIS seterusnya dijadual melaksanakan pelayaran pulang ke Malaysia pada 8 Januari 2020 dan dijangka tiba di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu pada 17 Januari 2020.

Related Articles

Leave a Reply