Home Semasa Bidang Komunikasi dan Media tiada masa depan – Datuk A Kadir Jasin

Bidang Komunikasi dan Media tiada masa depan – Datuk A Kadir Jasin

by Air Times News Network

SHAH ALAM, 18 Okt – Tiada lagi masa depan buat pelajar dalam bidang Komunikasi dan Pengajian Media untuk mendapatkan pekerjaan dalam industri media cetak, kata Penasihat Media dan Komunikasi di Pejabat Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin semalam.

“Saya cadangkan sama ada anda meneruskan pengajian dalam bidang Komunikasi dan Media untuk mendapatkan ijazah, selepas itu sambung belajar semula dengan mengikuti kursus lain kerana tidak ada masa depan untuk anda dalam industri media,” kata Kadir semalam di Forum Kelangsungan Media Cetak: “Mengapa Dilayar Jika Boleh Dicetak” anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Rembau.

Beliau memberikan respons ini selepas melihat kebanyakan tetamu yang hadir tidak seorang pun mengangkat tangan ketika ditanya oleh moderator, Prof Abdul Hamid Mohamed sama ada mereka membaca akhbar pada pagi tersebut.

Tegasnya, budaya membaca akhbar ini perlu dijadikan kebiasaan untuk memastikan media cetak sentiasa relevan.

“Anda tidak pernah membentuk kebiasaan membaca akhbar, jadi bagi anda akhbar tidak relevan,

“Dan oleh kerana anda adalah pemangku masa depan, kelangsungan media cetak bergantung pada anda semua,” tambahnya lagi.

Menurut Kadir media cetak akan terus relevan sekiranya orang ramai masih membaca dan membelinya.

Tetamu lain yang turut hadir sebagai panel dalam forum ini ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong; Penasihat Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Khalid Jaafar dan Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan.

 

Related Articles

Leave a Reply