Home Semasa Turki, Malaysia tingkat kerjasama perangi keganasan

Turki, Malaysia tingkat kerjasama perangi keganasan

by Bernama

KUALA LUMPUR, 16 Okt – Turki akan meneruskan kerjasama dengan Malaysia dalam usaha negara ini memerangi keganasan, termasuk memperhebat perkongsian risikan mengenai pejuang Daesh rakyat Malaysia di Syria.

Duta Turki ke Malaysia Merve Safa Kavakci berkata kolaborasi sedemikian adalah penting dan ia akan menjadi usaha yang berterusan.

“Contoh yang baik kerjasama sedemikian berlaku beberapa ketika dahulu apabila pihak-pihak berkaitan berkongsi risikan dan mengambil bahagian dalam operasi bersama bagi menentang Daesh,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Pada Ahad, Bernama melaporkan bahawa polis kini berusaha membawa pulang kira-kira 40 rakyat Malaysia – 11 lelaki dan selebihnya wanita dan kanak-kanak – yang ditahan di Syria kerana disyaki terlibat dalam aktiviti keganasan di sana.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antikeganasan Cawangan Khas Bukit Aman (E8) Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dipetik sebagai berkata kesemua lelaki kini ditahan di penjara Al-Hasakah manakala wanita dan kanak-kanak ditempatkan di kem Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Kavakci berkata ‘Operasi Peace Spring’ yang dilancarkan Turki di bahagian timur laut Syria bagi menghapuskan unsur-unsur keganasan di sepanjang sempadan Turki-Syria akan turut memberi manfaat kepada Malaysia.

“Operasi Peace Spring juga akan menyumbang kepada usaha Malaysia dalam memerangi keganasan Daesh dan kehadiran Turki di rantau ini bakal memperkukuh perkongsian risikan serta kaedah operasi terhadap pengganas Daesh,” katanya.

Beliau berkata Turki juga komited untuk menjalin kerjasama dengan negara lain bagi memudahkan penghantaran pulang kesemua pengganas Daesh yang ditahan di sempadan Syria dan untuk didakwa di negara asal mereka. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply