Home Semasa Maritim Malaysia, AADK tahan 13 nelayan positif dadah di Langkawi

Maritim Malaysia, AADK tahan 13 nelayan positif dadah di Langkawi

by Bernama

LANGKAWI, 7 Ogos – Tiga belas nelayan ditahan dalam Operasi Bersepadu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Langkawi dalam operasi selama 10 jam membasmi penagihan serta penyalahgunaan dadah di kawasan perairan pulau ini, semalam.

Pengarah Maritim Malaysia Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Rozali Mohd Said berkata nelayan warga tempatan berusia antara 20 hingga 40 tahun itu ditahan selepas didapati positif dadah jenis syabu dan heroin.

Beliau berkata operasi dilaksanakan bertujuan membasmi penagihan dan penyalahgunaan dadah di kalangan komuniti maritim sekitar perairan Langkawi di samping mencegah pelakuan jenayah maritim lain bertepatan dengan Projek Rintis AADK dalam menangani masalah gejala sosial di kalangan warga tempatan.

“Operasi dilaksanakan dari 9 pagi hingga 7 malam, dalam tempoh tersebut 60 individu yang bekerja sebagai kru kapal tangki minyak, kru feri penumpang dan nelayan telah menjalani saringan air kencing.

“Hasil operasi tersebut, 13 orang nelayan didapati positif dadah jenis syabu dan heroin. Semua yang didapati positif dadah ini telah menjalani proses dokumentasi berlandaskan prosedur yang ditetapkan oleh pihak AADK,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Rozali berkata pihaknya tidak akan berkompromi terhadap aktiviti yang melanggar undang-undang perairan negara dan meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai penyalahgunaan dadah dan sebarang aduan di laut.

“Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi talian 24 Jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Kedah dan Perlis di talian 04-9662750,” katanya. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply