Home Semasa Yadim: Sheikh Omar kurang Melayunya atau kurang Islam? – Patriot

Yadim: Sheikh Omar kurang Melayunya atau kurang Islam? – Patriot

by Nurulhuda

PETALING JAYA, 2 Feb – Pertubuhan bekas tentera, Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) menempelak pandangan Ketua Pemuda UMNO berhubung pelantikan ahli DAP Johor, Sheikh Omar Sheikh Ali sebagai ahli lembaga pemegang amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) sangat jelas rasis.

Presiden Patriot Mohamed Arshad Raji berkata Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki yang dilihat sebagai seorang ahli agama dan juga bekas ahli Yadim, tidak sepatutnya mengkritik pelantikan yang dibuat atas dasar kelayakan Sheikh Omar.

Arshad berkata, Asyraf fikir Omar tidak layak dilantik ke jawatan itu kerana “pandangan politik beliau yang sempit”.

Beliau berkata, Sheikh Omar memiliki ijazah sarjana muda daripada Universiti Malaya dalam bidang Pengajian Islam dengan pengkhususan Dakwah.

“Kelayakan akademik apa lagi yang Asyraf mahu daripada Sheikh Omar untuk layak menjadi ahli lembaga pengarah Yadim?

“Apakah Asyraf fikir bahawa Sheikh Omar, yang hanya merupakan ahli biasa DAP, kurang Melayunya atau kurang Islam?,” katanya dalam satu kenyataan.

Asyraf sebelum ini mengkritik pelantikan Sheikh Omar, yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paloh, dengan mendakwa Omar merupakan ahli sebuah parti yang tidak mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa, sebelum ini turut mempertahankan lantikan Sheikh Omar dengan merujuk kepada kelulusanya dalam bidang Pengajian Islam.

Mujahid berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga bersetuju dengan pelantikan itu.

Yadim, atau Yayasan Dakwah Islam Malaysia, ditubuhkan pada 1974 bagi menyelaraskan kegiatan dakwah Islam, kini diketuai oleh Nik Omar Nik Aziz, anak bekas menteri besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat.

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply