Home Semasa 2 suspek ugut lelaki hina Agong ditahan – Polis

2 suspek ugut lelaki hina Agong ditahan – Polis

by Nurulhuda

KUANTAN, 2 Feb – Polis telah menahan dua lelaki kerana disyaki mengugut seorang peniaga yang dikatakan memuat naik kenyataan menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Noor Yusof Ali berkata, kedua lelaki berusia 32 dan 36 tahun itu ditahan selepas mangsa yang juga lelaki berusia 45 tahun itu membuat laporan di Balai Polis Kuantan, malam tadi.

“Siasatan awal mendapati pengadu didatangi beberapa lelaki yang tidak dikenalinya dan memarahinya mengenai komen terhadap gambar Yang di-Pertuan Agong.

Suspek juga ada mengeluarkan perkataan berunsur ugutan bagi menakut-nakutkan pengadu.

“Hasil siasatan awal juga mendapati suspek berasa marah terhadap komen dibuat pengadu kerana dianggap telah menghina institusi diraja dan kemuliaan raja-raja Melayu,” katanya di sini hari ini.

Mohamad Noor berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau berkata mangsa dalam laporannya mendakwa komen yang dikatakan menghina itu dimuat naik pada petang Khamis lepas, semasa membalas komen pada akaun milik rakannya yang tertera gambar Sultan Abdullah.

“Pengadu mendakwa telah memadamkan komen itu selepas menyedari gambar tersebut ialah gambar Yang di-Pertuan Agong. Dia mendakwa didatangi dua lelaki pada petang semalam yang menegur kelakuan tersebut.

“Mangsa seterusnya mendakwa dia didatangi empat lagi lelaki pada 4.30 petang semalam yang memaki hamun dan mengajaknya bergaduh disebabkan komen itu,” katanya.

Menurut Mohamad Noor, siasatan berkaitan kes menghina Yang di-Pertuan Agong itu dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh.

Semalam, sebuah video berdurasi seminit 37 saat tular di laman sosial yang memaparkan dua lelaki cuba meminta penjelasan daripada seorang lelaki yang didakwa menghina Sultan Abdullah di laman Facebook.

Ketua Polis Pahang, Datuk Zakaria Ahmad meminta orang awam untuk tidak membuat tindakan sendiri, sebaliknya menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan mengikut undang-undang.

 

 

Related Articles

Leave a Reply