Home Semasa Padah cabul ‘budak WeChat’, bekas tentera dipenjara

Padah cabul ‘budak WeChat’, bekas tentera dipenjara

by Air Times News Network

KOTA BHARU, 23 Nov – Mahkamah Sesyen Kota Bharu semalam menjatuh hukuman penjara enam bulan dan denda RM15,00 kepada seorang bekas tentera, Nik Aris Ghazali, 24, atas tuduhan mencabul remaja perempuan yang dikenali selama seminggu melalui WeChat, pada 26 November tahun lalu.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku salah terhadap tuduhan tersebut.

Menurut laporan Harian Metro, mahkamah memerintahkan hukuman itu bermula semalam dan memerintahkan hukuman penjara tambahan 10 bulan jika gagal membayar denda terbabit.

Bagaimanapun, tertuduh membayar denda tersebut.

Tertuduh yang berpangkat Prebet ketika itu, didakwa mencabul kehormatan mangsa yang yang berusia 19 tahun di dalam pejabat Unit 5 Rejimen Artileri Diraja (RAD), Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas pada 11.30 malam hingga 12 tengah malam tahun lalu.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh bertemu mangsa di pasar raya di Kota Bharu selepas selesai bekerja dan mengajaknya ke kedai makan.

Tertuduh kemudian mengajak mangsa menaiki keretanya dan memberitahu mahu menghantar dahulu rakannya yang ada bersamanya ketika itu di Kem Desa Pahlawan.

Selepas itu, tertuduh mengajak mangsa masuk ke dalam pejabat sebelum mencabul kehormatanya.

Terdahulu, peguam Ahmad Nuri Abdul Rahman yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan dengan mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh menjimatkan masa dan kos mahkamah.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Noorazlinawati Md Arshad memohon hukuman setimpal berikutan mangsa mengalami trauma.

“Tertuduh mengambil kesempatan terhadap mangsa yang percaya kepadanya. Walaupun tidak sempat dirogol, perlakuan tertuduh memberi kesan kepada mangsa.

“Mohon mahkamah mengambil kira ketika kejadian tertuduh masih anggota tentera,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply