Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut 4 pegawai, 53 anggota TLDM tamat Kursus Asas Komando PASKAL

4 pegawai, 53 anggota TLDM tamat Kursus Asas Komando PASKAL

by Air Times News Network

LUMUT, 17 Nov – Seramai empat pegawai serta 53 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya menamatkan Kursus Asas Komando PASKAL siri 65/18 di sini hari ini setelah melalui pelbagai cabaran serta pelbagai peringkat latihan bermula 2 Julai hingga 17 November lalu.

Majlis penutup kursus ini telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin di Pangkalan TLDM di sini hari ini.

“Saya berbangga dan berharap agar kemahiran asas komando yang telah ditetapkan akan terus dikekalkan di dalam jiwa sanubari semua.

“Dengan kemahiran dan ikrar PASKAL yang dilafazkan, bersedialah untuk memikul tugas sebagai salah seorang warga elit TLDM”, katanya semasa memberi ucapan majlis penutup kursus itu.

Panglima Tentera Laut juga mengingatkan kepada semua anggota PASKAL yang baru tamat latihan ini supaya sentiasa menjunjung tinggi displin tentera dan martabat pasukan.

“Hayatilah kesemua 12 ikrar PASKAL yang telah dilafazkan sebagai prinsip dan  pegangan untuk setiap tugasan yang akan ditempuhi di hari mendatang. Sebagai anggota baru PASKAL, mestilah berusaha memajukan diri dan menghasilkan mutu kerja yang cemerlang”, katanya.

TLDM dalam kenyataan hari ini berkata, kursus ini juga melibatkan penyertaan seorang anggota lain-lain pangkat (LLP) dari Tentera Laut Bangladesh, seorang anggota LLP dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan enam peserta dari Pasukan Simpanan Sukarela TLDM (PSSTLDM) yang telah lulus kursus tersebut dengan jayanya.

“Buat julung kalinya pegawai dan anggota PSSTLDM berjaya mengharungi pelbagai cabaran dan membuktikan bahawa mereka layak untuk memakai beret ungu dan trimedia kebanggaan PASKAL.

“Kursus ini meliputi beberapa peringkat latihan iaitu fasa pemanasan, peringkat kem, peringkat hutan, peringkat paya, peringkat laut, fasa pelarian dan pelolosan serta hell week”, katanya.

Pada masa sama majlis ini juga diserikan dengan penyampaian Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada veteran-veteran PASKAL, individu yang turut sama menyumbang dalam kejayaan pelaksanaan misi PASKAL dan pencipta lagu serta Trimedia PASKAL.

“Seramai 21 orang veteran PASKAL telah diberikan penghormatan untuk menerima PJM yang telah berkhidmat di Stesen Luar Pantai TLDM atau dikenali sebagai Gugusan Semarang Peninjau sehingga tahun 1989”, katanya.

Menurut kenyataan lagi, Transformasi kursus ini yang telah berjaya dilaksankan pada kali ini akan diteruskan bagi menyokong aspek 3P iaitu Platform, People dan Process serta menyokong pelan Transformasi 15 to 5 sesuai dengan cogan kata PASKAL ‘Sentiasa Yang Terbaik’.

Related Articles

Leave a Reply