Home Semasa Tun M nasihat Najib buat laporan mengenai dakwaan 1MDB

Tun M nasihat Najib buat laporan mengenai dakwaan 1MDB

by Air Times News Network

PETALING JAYA, 27 Okt – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak perlu membuat laporan kepada pihak berkuasa atas dakwaannya mengenai kemungkinan penglibatan tokoh antarabangsa lain dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib membuat dakwaan itu dalam satu temu bual dengan agensi berita antarabangsa Al Jazeera.

“Suruh dia membuat laporan dan kami akan cari mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di sini semalam.

Dalam temu bual itu, Najib meminta para penyiasat untuk menyiasat tokoh-tokoh antarabangsa lain yang didakwa terlibat dalam penyelewengan dana 1MDB dan tidak hanya menyiasat penglibatan ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata: “Kami mendapati sukar untuk menguatkuasakan undang-undang kita di negara lain tetapi jika mereka melakukan jenayah di Malaysia, yang menjejaskan rakyat Malaysia atau wang milik Malaysia, jika mereka datang ke sini, kami akan menangkapnya.”

Awal hari ini, Menteri Luar Arab Saudi Adel Ahmed Al-Jubeir dipetik sebagai berkata Kerajaan Arab Saudi tidak mempunyai sebarang kaitan dengan derma RM2.6 bilion yang didakwa diterima Najib.

Dr Mahathir berkata apa yang penting ialah bukti dalam berbentuk dokumen duit tersebut datang dari 1MDB ataupun Arab Saudi.

“Anda tidak boleh pindahkan wang dengan jumlah yang besar tanpa rekod. Kalau mereka kata ia daripada Arab Saudi, tunjukkanlah rekodnya. Jika tidak, kami perlu siasat daripada mana datangnya. Sepanjang pengetahuan kami, ia datang daripada 1MDB,” kata beliau. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply