PUTRAJAYA, 19 Sept – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed sepatutnya keluar daripada UMNO lebih awal.
“Barangkali dia baru sedar, tapi lambatlah sikit.
“UMNO dah rosak, baru nak keluar la ni (sekarang ini). Tak apalah,” katanya kepada pemberita pada Majlis Malam Anugerah Francais Malaysia 2018 di Putrajaya, malam tadi.
Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Mustapa yang mengumumkan keluar parti selepas lebih 40 tahun berkhidmat untuk UMNO.
Ditanya sekiranya Mustapa mahu menyertai Pakatan Harapan (PH), Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH berkata, beliau perlu membuktikan dirinya berbeza daripada yang dahulu.
“Kalau nak ‘join’ (sertai), kena tunjuk dia berlainan daripada dahulu,” katanya.
Media melaporkan, Mustapa mengumumkan keluar parti selepas lebih 40 tahun berkhidmat untuk UMNO.
Beliau dilaporkan berkata, keputusannya itu susulan hala tuju UMNO pada masa kini tidak selari dengan perjuangannya.