Home Pertahanan dan Keselamatan Warga ATM diseru tampil bantu program rakyat anjuran kerajaan

Warga ATM diseru tampil bantu program rakyat anjuran kerajaan

by Air Times News Network

PADANG BESAR, 19 Sept – Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berkhidmat di Perlis, digesa tampil ke hadapan untuk membantu pelbagai program dan aktiviti rakyat yang dijalankan kerajaan demi kesejahteraan masyarakat.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, usaha itu selaras dengan slogan ATM bahawa ‘tentera dan rakyat berpisah tiada’.

Demikian titah baginda selepas berkenan berangkat menyaksikan persembahan ‘Last Post’ sempena majlis sambutan Hari Ulang Tahun ATM kali ke-85 peringkat Rejimen 504 Askar Wataniah (AW) di perkarangan Masjid Al-Hakam, Kampung Kok Klang di sini, semalam.

Hari ulang tahun ATM disambut pada 16 September setiap tahun.

Sebelum itu, keberangkatan baginda disambut oleh Timbalan Komander Rejimen 504 AW, Leftenan Kolonel Huzaini Hussin dan Mejar Lasahi Laiji.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd. Nazim Mohd. Noor.

Program tahunan itu adalah anjuran Rejimen 504 AW yang berpangkalan di Kem Bukit Keteri dan pada kali ini turut mendapat kerjasama daripada MAIPs dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

Seramai 85 orang peserta dari kalangan warga rejimen itu, Markas Briged Ke-30 Infantri Malaysia (30 Briged) dan 4 Rejimen Renjer Diraja (RRD) iaitu jumlah simbolik usia ATM turut menyertai baginda dalam program ‘Kayuhan ATM Teras Kedaulatan Negara’.

Program itu disekalikan dengan aktiviti MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf kali ke-68 untuk tahun ini dengan para peserta singgah di rumah-rumah asnaf mangsa kebakaran, pesakit dialisis dan sakit lain bagi menyerahkan sumbangan. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Leave a Reply