Home PolitikPakatan Harapan Bekas Ketua Menteri Melaka sertai BERSATU

Bekas Ketua Menteri Melaka sertai BERSATU

by Air Times News Network

JASIN , 17 Sept – Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Adib Mohamad Adam menyerahkan borang keahlian untuk menjadi ahli seumur hidup Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam satu majlis Sembang Santai di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai, malam tadi.

Borang tersebut diserahkan kepada Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya sambil disaksikan Ketua Srikandi Bersatu Melaka, Azalina Abdul Rahman dan juga beberapa pemimpin lain.

Menurut Azalina, beliau dimaklumkan oleh Mohd Adib, tujuannya menyertai BERSATU bukannya untuk kembali bergiat aktif dalam politik tetapi atas dasar sokongan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai seorang rakan baik.

“Seperti yang ramai sedia maklum, Jasin terdapat ramai orang lama dalam politik UMNO, justeru, niatnya adalah untuk memberi kesedaran dan mengajak mereka supaya menyertai Bersatu sekaligus untuk memperkukuhkan BERSATU Bahagian Jasin,” katanya.

Berusia 77 tahun, Mohd Adib adalah seorang ahli korporat dan tokoh politik berpengalaman.

Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka kelima dari 11 Julai 1978 hingga 26 April 1982.

Malah, Mohd Adib juga pernah menjawat jawatan Menteri Penerangan dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Koperasi dan Usahawan.

Pada majlis itu, Azalina turut menyerahkan sebanyak 580 borang keahlian BERSATU bagi bahagian Jasin menerusi permohonan yang diterima mulai awal Jun sehingga Ogos lalu.

Related Articles

Leave a Reply